Berita

‘Kenapa perlu PRN ketika mandat masih berbaki?’ – Setiausaha Politik MB NS

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mempersoalkan keperluan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan ketika mandat pentadbiran masih berbaki sehingga tahun 2028.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohammad berkata, kerajaan negeri sebelum ini dibentuk melalui Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Negeri 2023 dengan pembahagian kerusi antara parti komponen.

Azman berkata, kestabilan yang dikecapi ketika ini didakwa telah tergugat selepas tindakan sebahagian wakil rakyat menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

“Kenapa perlu diadakan pilihan raya negeri di saat kita masih berbaki mandat sehingga 2028? Kita memasuki pilihan raya negeri pada tahun 2023 bersama rakan Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional dengan pembahagian kerusi,” katanya dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Karisma Arena, di sini.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun sebelum ini telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan pelaburan.

“Pendapatan semakin meningkat daripada sekitar RM400 juta kepada RM700 juta. Rizab semakin kukuh, pelaburan juga terus masuk ke Negeri Sembilan,” katanya.

Azman berkata kerajaan negeri sebelum ini berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat termasuk pulangan manfaat kepada rakyat melalui ratusan program pembangunan.

“Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM60 juta hingga RM100 juta setiap tahun untuk pelbagai inisiatif melibatkan 361 program dengan nilai RM681.5 juta,” katanya.

Dalam masa sama, penjawat awam negeri turut menerima pelbagai bentuk bantuan kewangan termasuk bantuan khas yang meningkat dari semasa ke semasa sejak beberapa tahun lalu.

“Penjawat awam menerima bantuan khas kewangan sehingga tiga bulan gaji pada 2026,” katanya.

Mengulas aspek pentadbiran, ketelusan kerajaan negeri telah memperkukuhkan kedudukan kewangan beberapa agensi termasuk Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

“Yayasan Negeri Sembilan meningkat daripada keuntungan RM2.52 juta kepada simpanan RM38.75 juta, manakala Syarikat Air Negeri Sembilan meningkat kepada RM14.66 juta berbanding hampir tiada sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan negeri komited mempertahankan institusi diraja, undang-undang tubuh negeri serta adat Perpatih.

“Justru itu pilihan raya negeri ini sangat penting untuk kita meneruskan kestabilan politik, memastikan kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat serta kedaulatan institusi diraja,” katanya.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) bersama rakan sekutu akan mempertaruhkan semula kepimpinan sedia ada bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri.

“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tok Min akan terus diangkat bagi memastikan kestabilan dan pembangunan Negeri Sembilan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau yang berucap selama kira-kira 10 minit itu turut menyeru semua jentera parti untuk memperkukuhkan gerak kerja bagi menghadapi PRN akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button