Berita

‘Masa Untuk Pengundi Tentukan Masa Depan Negeri Sembilan’ – Tok Min

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menggesa pengundi negeri ini supaya keluar mengundi beramai-ramai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi menentukan masa depan negeri serta memastikan kestabilan pentadbiran dapat diteruskan.

Menurut Aminuddin, hanya pengundi mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju Negeri Sembilan dan membuat keputusan terhadap pihak yang menyebabkan ketidakstabilan politik sehingga memaksa pilihan raya diadakan lebih awal.

“Yang mampu memberi hukuman adalah pengundi. Yang mampu memberi hukuman adalah tuan-tuan dan puan-puan, keluarga tuan-tuan dan puan-puan. Inilah masanya, inilah saatnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Karisma Arena, di sini.

Aminuddin berkata, Negeri Sembilan telah menikmati kestabilan pentadbiran sejak dua penggal lalu hasil perpaduan pelbagai kaum yang menjadi tunjang kekuatan Pakatan Harapan.

“Ini menunjukkan parti kita, parti pelbagai kaum. Parti yang menyatakan pentingnya muafakat, pentingnya muhibah, pentingnya persamaan dan pentingnya perpaduan. Inilah parti kita yang tidak ada pada parti lain,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyifatkan krisis politik yang berlaku ketika kerajaan negeri sedang giat memacu pembangunan sebagai satu pengkhianatan terhadap usaha membangunkan negeri.

“Ketika kita sedang bersungguh-sungguh untuk pastikan negeri ini dapat kita bangunkan dengan lebih cepat, ketika kita sedang laju, kita terpaksa berhenti sebentar mencari sokongan daripada rakyat.

“Menyerahkan semula mandat rakyat, mencari semula formula yang tepat untuk kita tadbir negeri ini.

“Sepatutnya kita dapat lalui semua krisis dan masalah ini dengan baik. Tetapi jika inilah yang mereka pilih, kita akan lawan mereka sampai menang, insya-Allah,” katanya.

Aminuddin turut menyeru seluruh jentera pilihan raya supaya terus bekerja tanpa mengira siapa yang dipilih sebagai calon serta tidak mengulangi perbuatan mengkhianati parti demi kepentingan peribadi.

“Saya tidak ingin dengar daripada mana-mana DUN untuk kita tidak menyokong calon yang diputuskan oleh pimpinan mereka.

“Apa jua calon, apa jua nama yang dipilih oleh pimpinan, harus disokong. Kita tidak boleh khianat seperti sahabat kita khianat kepada kita ketika kita dalam keadaan yang baik,” katanya.

Beliau dalam masa sama berharap kadar keluar mengundi pada PRN kali ini melepasi 80 peratus.

“Jika kita sayangkan negeri ini, kita kasihkan negeri ini, kita ingin lihat pembangunan terus berjalan, ekonominya lebih baik, peluang pekerjaan terus terbuka dan pelaburan terus meningkat, saya yakin… tolong balik mengundi.

“Saya nak 1 Ogos nanti bukan sekitar 70 peratus sahaja keluar mengundi. Kita nak 80 peratus keluar mengundi.

“Tunjukkan rasa ketidakpuasan hati kita kepada mereka yang mengkhianati kita. Biar pengundi yang ajar mereka. Kita nak mereka faham tentang demokrasi,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Negeri Sembilan supaya terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan demi memastikan hubungan kukuh antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan bagi menjamin pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

“Inilah masanya untuk kita perkukuhkan bukan sahaja Pilihan Raya Negeri ini, tetapi kita bersiap sedia untuk pilihan raya yang akan datang. Kita sama-sama bekerja dan pastikan kemenangan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button