BeritaYB Kita

Lebuhraya NLE Dijangka Siap Tahun Depan – Arul

NILAI: Kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Nilai–Labu–Enstek (NLE) kini kembali rancak selepas Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta serta melantik kontraktor baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar, berkata perkembangan itu memberi keyakinan bahawa projek berimpak tinggi tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Saya telah meninjau sendiri perkembangan pembinaan di persimpangan permulaan Lebuhraya NLE di Taman Semarak, Nilai dan mendapati kemajuan projek kini lebih ketara berbanding sebelum ini.

“Sejak pelantikan kontraktor baharu, pelbagai kerja pembinaan telah dipergiatkan dan kemajuan projek dapat dilihat dengan lebih ketara.

“Perkembangan ini amat penting bagi memastikan projek Lebuhraya NLE dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Arul, Lebuhraya NLE merupakan jalan raya berkembar empat lorong tanpa tol sepanjang 18 kilometer yang menghubungkan Taman Semarak, Nilai dengan Bandar Enstek.

“Projek yang dibangunkan di bawah inisiatif Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) itu bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan Nilai, Labu dan Bandar Enstek secara lebih efisien.

“Lebuhraya ini dijangka siap pada tahun hadapan dan akan memendekkan masa perjalanan ke KLIA serta Bandar Enstek.

“Ia turut merentasi beberapa kawasan pembangunan dan perindustrian utama seperti Bandar Hamilton, MVV City dan Bandar Enstek,” katanya.

Tambah Arul, apabila siap kelak, pengguna tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada laluan sedia ada di Pekan Nilai, Labu dan Pekan Salak yang sering mengalami kesesakan lalu lintas.

“Penduduk serta pengguna jalan raya dari Nilai ke Enstek atau KLIA akan menikmati perjalanan yang lebih lancar, cepat dan selesa.

“Selain meningkatkan jaringan pengangkutan, Lebuhraya NLE juga dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan aktiviti perniagaan di kawasan Nilai, Labu dan Enstek yang merupakan antara hab perindustrian dan pembangunan penting di Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Lebuhraya NLE turut akan disambungkan terus ke Lebuhraya PLUS menerusi pembinaan sebuah persimpangan bertingkat (interchange) baharu berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan.

“Kemudahan ini akan mewujudkan akses terus antara Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya NLE sekali gus meningkatkan tahap kesalinghubungan rangkaian jalan raya di Negeri Sembilan.

“Apabila siap kelak, pengguna dari Lebuhraya PLUS akan dapat memasuki Lebuhraya NLE dengan lebih mudah tanpa perlu melalui jalan-jalan Persekutuan atau laluan sedia ada yang sering mengalami kesesakan.

“Ia bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membantu melancarkan pergerakan trafik ke kawasan Nilai, Labu, Bandar Enstek, KLIA serta kawasan pembangunan strategik di bawah Malaysia Vision Valley 2.0,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button