Berita

Anwar Persoal Asas Gugat Kerajaan Negeri Sembilan, Tiada Isu Integriti Atau Salah Guna Kuasa

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harin, telah dilaksanakan dengan baik serta tidak berdepan sebarang isu melibatkan salah guna kuasa atau integriti yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Beliau berkata, sehubungan itu, sebarang usaha untuk menamatkan pentadbiran sedia ada dan mencetuskan ketidaktentuan politik perlu dinilai secara objektif berdasarkan kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.

“Krajaan negeri ketika ini sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat yang memerlukan kesinambungan dasar serta pentadbiran yang stabil.

“Sekiranya terdapat isu berkaitan kebajikan rakyat, salah guna kuasa atau perkara yang menjejaskan pentadbiran, ia boleh dibincangkan melalui saluran yang sewajarnya.

“Namun, persoalannya ialah apakah asas yang kukuh untuk menggugat sebuah kerajaan yang sedang melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini turut mengingatkan semua pihak mengenai kepentingan mengekalkan kestabilan politik bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Kerajaan pada masa ini sedang memberi keutamaan kepada usaha menangani kos sara hidup, memperkukuh ekonomi serta memastikan bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan dapat dinikmati oleh rakyat secara menyeluruh.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, termasuk melalui pelaksanaan pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan inisiatif berkaitan kos sara hidup.

“Justeru, fokus perlu diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam menyokong pembangunan Negeri Sembilan menerusi pelbagai peruntukan dan projek strategik yang memberi manfaat kepada rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, kestabilan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan faktor penting dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

“Apabila diberikan amanah, tanggungjawab utama adalah memastikan setiap dasar dan program yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button