BeritaProgram

Gobind Minta Pengundi Beri Mandat Kukuh Di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Negeri Sembilan kini menjadi tumpuan kerana perkembangan pemodenan serta pendigitalan yang melibatkan sektor teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) namun dalam masa sama terdapat pihak tertentu yang didakwa cuba menimbulkan ketidaktentuan politik yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.

Menurut Gobind Singh Deo yang juga pemimpin Pakatan Harapan, Negeri Sembilan kini berada pada landasan ekonomi yang baik hasil kestabilan pentadbiran serta peningkatan keyakinan pelabur.

“Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan pusat telah memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

“Pembangunan negeri yang semakin berkembang adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, termasuk dalam sektor digital dan industri masa depan.

“Dan kita lihat Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah mencatat angka-angka ekonomi yang sangat baik.

“Kita lihat dalam tahun yang lalu, pelaburan yang kita terima itu pelaburan yang cukup baik.

“Menjadi rekod, mencecah rekod menunjukkan kecemerlangan di dalam pimpinan Aminuddin dan kerajaan negeri di Negeri Sembilan.

“Kita juga lihat bagaimana Negeri Sembilan sekarang telah pun menjadi tumpuan industri semikonduktor, AI,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Menteri Digital berkata keyakinan pelabur terhadap negeri ini turut didorong oleh kestabilan politik yang wujud hasil kerjasama kerajaan sedia ada di peringkat pusat dan negeri.

“Dan ini menunjukkan bahawa pimpinan di bawah Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan, kita boleh melihat kepada pelaburan esok hari, ataupun future investments yang boleh memperkukuhkan ekonomi Negeri Sembilan.

“Di Kerajaan Pusat kita kerjasama, di negeri kita kerjasama dan tujuannya adalah untuk membawa kemakmuran kepada Negeri Sembilan dan juga rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang berlangsung di Karisma Arena, di sini.

Dalam pada itu, Gobind memberi amaran bahawa sebarang ketidaktentuan politik boleh memberi kesan kepada keyakinan pelabur serta menggugat momentum ekonomi negeri.

“Saya bimbang terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa boleh menggugat kestabilan politik negeri sehingga memberi kesan kepada keyakinan pelabur,” katanya.

Beliau menegaskan, pengundi di Negeri Sembilan perlu membuat keputusan yang jelas dalam pilihan raya akan datang bagi memastikan kestabilan pentadbiran terus terjamin.

Tambah beliau, ketidaktentuan politik sebelum ini telah memberi kesan langsung kepada perjalanan pentadbiran negeri sehingga mencetuskan keperluan kepada pilihan raya negeri.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi supaya tidak mengambil ringan isu kestabilan politik kerana ia memberi kesan terus kepada ekonomi dan masa depan negeri.

Majlis pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan itu berlangsung dalam suasana penuh semangat dengan kehadiran penyokong yang memenuhi dewan menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button