Berita

Keputusan Kerajaan Persekutuan Mengenai Negeri Sembilan Berasaskan Undang-Undang – Anwar

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang keputusan yang dibuat Kerajaan Persekutuan berkaitan isu yang sedang berlaku di Negeri Sembilan adalah berlandaskan undang-undang serta pandangan pihak berautoriti, bukannya ditentukan oleh beliau secara peribadi.

“Segala tindakan yang diambil kerajaan perlu mematuhi kerangka perundangan sedia ada termasuk mengambil kira nasihat serta pandangan daripada Peguam Negara.Saya tegaskan semula, saya tiada ruang untuk mengganggu gugat sistem yang ada.

“Tetapi apa-apa perubahan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan, ia mengikut undang-undang yang ada, bukan saya putuskan. Peguam Negara ada, maka kita akur dan patuh serta taat kepada Yang di-Pertuan Besar sebagai Raja Berperlembagaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, beliau tidak pernah mempertikaikan Adat Perpatih mahupun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) kerana kedua-duanya merupakan sebahagian daripada perlembagaan negeri yang perlu dihormati.

“Sebarang penyelesaian terhadap krisis yang sedang berlaku perlu dibuat mengikut peraturan dan perlembagaan, bukannya melalui tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

“Saya kata apa-apa perubahan, ikut peraturan dan perlembagaan. Tapi bayangkan apa nak jadi pada negara ini kalau daripada politik rakyat sampai raja pun menjadi bahan pertikaian,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, tanggungjawabnya adalah memastikan kestabilan negara terus terpelihara dan sebarang keputusan yang diambil Kerajaan Persekutuan mempunyai asas undang-undang yang kukuh.

Pihak kerajaan sentiasa menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan tidak akan mengambil sebarang tindakan yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang atau perlembagaan yang berkuat kuasa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak membuat andaian bahawa kerajaan bertindak sesuka hati dalam menangani isu berbangkit, sebaliknya setiap keputusan dibuat melalui proses yang sah serta mengambil kira pandangan pihak berautoriti berkaitan.

Show More

Related Articles

Back to top button