
SEREMBAN: Penduduk DUN Bukit Kepayang menerima pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sumbangan yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon, dalam usaha meringankan beban golongan yang memerlukan, hari ini.
Menerusi media sosialnya, program berkenaan merangkumi bantuan sewa rumah, bantuan pendidikan dan sukan untuk anak-anak, bantuan perubatan serta sumbangan bagi aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti setempat.
“Inisiatif ini merupakan usaha berterusan untuk memastikan kebajikan masyarakat terus terbela, khususnya mereka yang berdepan cabaran kos sara hidup” katanya.
Selain sesi penyerahan bantuan, turut diadakan perbincangan bersama wakil pertubuhan dan komuniti berkaitan beberapa cadangan pembangunan termasuk pengembangan aktiviti sukan, pengisian hiburan komuniti serta usaha menghidupkan kawasan ‘N9 Sg Ujong Walk’ sebagai ruang awam yang lebih meriah dan mesra masyarakat.
“Perbincangan ini turut menyentuh cadangan penganjuran program berunsur alam sekitar bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
“Moga dengan usaha ini diharap dapat memperkukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti dan pihak berkaitan dalam membangunkan kawasan setempat secara lebih inklusif dan berterusan” katanya lagi.



