Berita

Persiapan Logistik Jadi Sebab PRN Johor, Negeri Sembilan Tidak Diadakan Serentak

SEREMBAN: Keperluan membuat persiapan rapi membabitkan aspek logistik, latihan petugas dan kesiapsiagaan operasi menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan ditetapkan pada tarikh berasingan.

Menurut, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, jentera pilihan raya di Negeri Sembilan memerlukan tempoh persediaan lebih panjang susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat secara mengejut.

“Keadaan itu memerlukan masa mencukupi bagi memastikan seluruh petugas benar-benar bersedia sebelum proses pilihan raya dilaksanakan.

“Di Negeri Sembilan, pembubaran secara mengejut (snap election), keadaan tidak bersedia. Kami memerlukan masa untuk mereka betul-betul fokus.

“Kita selesaikan PRN Johor terlebih dahulu kemudian kita bawa semua pasukan dari Johor untuk membantu Negeri Sembilan. Kalau buat serentak, persiapan memang tidak sempat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Johor dan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Tambah Ramlan, DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun pada 5 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mengulas dakwaan mengenai ketidaksahihan pembubaran DUN Negeri Sembilan, Ramlan menegaskan perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa SPR.

“SPR juga telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung isu tersebut dan setakat ini tiada sebarang isu dibangkitkan” katanya.

Terdahulu, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan akan diadakan pada tarikh berasingan bagi memastikan semua persiapan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar.

Show More

Related Articles

Back to top button