Berita

PRN Negeri Sembilan Ke-16: Pengundian Ditetapkan 1 Ogos

SEREMBAN: Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos akan datang, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon adalah pada 18 Julai manakala pengundian awal pula akan berlangsung pada 28 Julai.

Beliau mengumumkan tarikh-tarikh penting itu dalam sidang media berkaitan Pilihan Raya Umum Negeri Johor dan Negeri Sembilan ke-16 di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

Menurut Ramlan, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 ialah Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang dikemas kini sehingga 4 Jun lalu.

“Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 889,490 pemilih layak mengundi yang terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis,” katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.

Dalam pada itu, Ramlan berkata, SPR telah melantik lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang akan dibantu oleh 95 Penolong Pegawai Pengurus bagi mengendalikan proses pilihan raya berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh berkempen rasmi.

“Seramai 15,344 petugas akan dilantik untuk mengendalikan keseluruhan proses PRN Negeri Sembilan Ke-16.

“Sebanyak 401 pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,668 saluran mengundi akan digunakan, selain 38 pusat mengundi awal yang merangkumi 70 saluran awal,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan PRN Negeri Sembilan Ke-16 dianggarkan melibatkan peruntukan sebanyak RM80.6 juta.

Ramlan turut memaklumkan bahawa permohonan undi pos bagi semua kategori pengundi dibuka bermula hari ini dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal MySPR.

Katanya, permohonan undi pos bagi kategori 1A yang melibatkan pengundi luar negara akan ditutup pada 8 Julai, manakala permohonan bagi kategori 1B dan 1C melibatkan petugas pilihan raya, anggota polis, anggota tentera serta petugas media akan ditutup pada 18 Julai depan.

PRN Negeri Sembilan Ke-16 bakal menyaksikan hampir 890,000 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih kerajaan negeri baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button