Berita

DAP sokong langkah tangani krisis tenaga

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Democratic Action Party (DAP) dalam mesyuarat bulanannya pada 6 April 2026 telah diberi taklimat mengenai perkembangan terkini konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada krisis tenaga global serta potensi gangguan bekalan minyak negara selepas bulan Mei.

Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook, berkata mesyuarat tersebut telah membincangkan impak krisis berkenaan serta beberapa isu semasa lain sebelum mencapai beberapa ketetapan penting.

CEC DAP mengarahkan semua pemimpin dan wakil rakyat parti untuk mempergiat usaha penerangan kepada masyarakat di peringkat akar umbi berhubung keseriusan krisis tenaga global. Dalam masa sama, orang ramai diseru mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah termasuk mengurangkan penggunaan bahan api bagi mengekang peningkatan permintaan minyak.

Mesyuarat itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha berterusan kerajaan dalam mengurus krisis global berkenaan secara menyeluruh demi memastikan kestabilan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Selain itu, wakil DAP dalam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pengasingan Kuasa Peguam Negara diarahkan untuk memastikan penambahbaikan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkara tersebut dapat dimuktamadkan dengan segera dan dibentangkan di Parlimen pada sidang Jun akan datang.

Dalam aspek pendidikan, CEC DAP menyeru kerajaan supaya meneruskan dasar penempatan automatik ke program matrikulasi bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh keputusan 10A ke atas, di samping memberi pertimbangan sewajarnya kepada pelajar cemerlang lain berdasarkan kapasiti sedia ada.

Pada masa yang sama, mesyuarat itu turut menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol, khususnya dalam kes yang melibatkan kematian, sebagai langkah memberikan mesej jelas mengenai kepentingan tanggungjawab dan keselamatan di jalan raya.

CEC DAP menegaskan komitmennya untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam mendepani cabaran semasa serta memastikan kepentingan rakyat dan negara sentiasa diutamakan.

Show More

Related Articles

Back to top button