Kolumnis

Dewan Waghih Siswa Pentas Utama Mengangkat Suara Siswa-Belia Negeri Sembilan

AIDILFITRI SAWALLUDIN DAN NOR SHAKILA ABDULLAH: Persidangan Dewan Waghih Siswa (DWS) 2023 Siri 1 telah diadakan di Klana Resort, Seremban.

Persidangan DWS ini dianggotai seramai 38 orang ahli yang dilantik secara rasmi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato Seri Aminuddin Harun. Keanggotaan ahli DWS juga terdiri daripada pemimpin-pemimpin siswa dan belia yang berbilang kaum, agama dan latar belakang pendidikan.

Penganjuran DWS ini juga telah diketuai oleh Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan dan Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) dengan kerjasama Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Yayasan Darul Khusus (YDK) dan Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH).

Persidangan ini telah dipengerusi oleh Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar selaku Yang Dipertua DWS 2023 Siri 1 dan turut dibantu oleh Yang Berusaha Tuan Jufitri Joha yang merupakan Timbalan Yang Dipertua DWS 2023 Siri 1.

Dalam menyahut suara-suara anak muda yang ingin melakukan reformasi dalam bidang pendidikan dan belia, sebanyak empat buah usul telah dibahas oleh barisan ahli DWS yang meliputi isu-isu pendidikan dan belia di Negeri Sembilan, sekali gus telah diluluskan dengan kata sepakat majoriti ahli-ahli dewan selepas selesai sesi bersidang.

Ucapan penggulungan pula telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abd Ghani, yang menjadi Wakil Kerajaan Negeri Sembilan bagi memberikan respons terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan oleh ahli DWS semasa bersidang.

Pada penghujung sesi persidangan, tiga orang pembahas telah menerima penganugerahan bagi kategori masing-masing.

Penerima-penerima tersebut ialah Saudara Muhammad Shahrizan Zainal Abidin, (DWS 30) yang merangkul Anugerah Pembahas Terbaik (Lelaki); manakala Saudari Nur Syaqirin Ruhaizam, (DWS 09) pula menerima Anugerah Pembahas Terbaik (Wanita).

Anugerah kemuncak pula disandang oleh Saudara Hanief Erza Eri Aswandi, (DWS 07) yang mewakili golongan belia telah membawa pulang Anugerah Ikon DWS 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button