Empat Rumah Terjejas Akibat Pemendapan Tanah, Kejadian Jarang Berlaku di Pinggiran Senawang

PAROI: Satu kejadian runtuhan struktur binaan tambahan di bahagian hadapan beberapa rumah dilaporkan berlaku di Taman Pinggiran Senawang. Pemantauan di lokasi dijalankan oleh Balai Polis Senawang bermula jam 10:45 pagi hingga 12:09 tengah hari tadi.
Hasil pemeriksaan awal mendapati runtuhan disyaki berpunca daripada pemendapan tanah. Kejadian ini menarik perhatian penduduk kerana sebelum ini kes pemendapan tanah sering berlaku di kawasan Seremban Selatan, Seremban Jaya dan Taman Desa Melor, Senawang tetapi jarang dilaporkan di Pinggiran Senawang.
Menurut laporan Balai Polis Senawang, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan. Walau bagaimanapun, sebanyak empat buah rumah terjejas akibat kejadian ini. Rumah No. 94 mengalami runtuhan di bahagian hadapan serta kerosakan pada dua buah kenderaan.
Rumah No. 92 pula mengalami kerosakan bumbung dan kawasan parkir runtuh manakala Rumah No. 96 dan 98 mengalami rekahan di bahagian hadapan rumah.
Sebagai langkah keselamatan, seramai tiga keluarga dari Rumah No. 92, 94, 96 dan 98 telah dipindahkan sementara. Pemantauan turut disertai oleh Dato’ MK Ibrahim, Speaker Dewan Undangan Negeri.
Pihak Polis Diraja Malaysia telah memberikan nasihat keselamatan kepada mangsa manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan pemeriksaan awal serta menasihati penduduk supaya berpindah sementara.
Tali keselamatan larangan masuk juga telah dipasang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Antara agensi yang terlibat dalam pengurusan kejadian ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Majlis Bandaraya Seremban.
Anggaran kerugian masih dalam penilaian.



