BeritaProgram

Faiz mahu perkasa ekonomi penduduk Tampin berasaskan pertanian

Tampin Food Valley

Rakyat negara hari ini terutama penduduk Tampin berhadapan satu isu besar yang mencengkam hidup kita iaitu kekurangan peluang pekerjaan. Saya melihat Tampin ini adalah sebuah daerah yang kaya dengan potensi, terutamanya dalam sektor pertanian.

Maka, Tampin perlu menjadi salah satu hub terpenting negara untuk membekalkan makanan ke seluruh Malaysia. Malah, kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan telah pun memulakan usaha untuk mentransformasikan Tampin sebagai Lembah Makanan.

Jika saya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Tampin untuk lima tahun akan datang, saya bertekad memperjuangkan Tampin sebagai Lembah Makanan atau Food Valley.

Pengusaha pertanian tempatan akan dijadikan ‘anchor’ utama dalam usaha ini. Dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan, para petani dan peladang akan dibantu dan dibimbing untuk meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman mereka.

Pembangunan tanah terbiar

Pembangunan tanah-tanah terbiar termasuk tanah di dalam daerah Tampin termasuklah NFC harus dibangunkan oleh penduduk Tampin. Ini bagi memastikan projek-projek pertanian dapat berjalan dengan berkesan dan membantu usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan terutamanya kepada golongan muda.

Dengan adanya usaha ini, saya yakin golongan muda akan berminat menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan negara. Apatah lagi, usaha ini akan memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Felda terutama generasi kedua dan ketiga.

Peluang pekerjaan generasi baru Felda

Di samping itu, industri hiliran (downstream) berasaskan pertanian perlu dibangunkan di daerah Tampin. Oleh kerana itu, lebih banyak syarikat-syarikat pemprosesan makanan perlu dijemput untuk membuka kilang atau fasiliti mereka untuk memproses hasil tanaman pertanian. Anak-anak muda dan perniagaan tempatan kecil dan sederhana (IKS) di Tampin juga perlu dibantu dan dibimbing untuk berkecimpung dalam industri hiliran pertanian ini.

Jika usaha ini berjaya, ia akan memperkasakan ekonomi Tampin dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bermutu tinggi kepada anak muda terutama generasi kedua dan ketiga Felda. Kemahiran dan minat penduduk Tampin kepada sektor pertanian harus dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Tampin akan dikenang rakyat Malaysia kerana mampu menambah bekalan produk pertanian yang boleh mengurangkan harga barang makanan yang semakin mahal. Kos sara hidup rakyat dapat dikurangkan hasil usaha bersama ini.

Faiz Fadzil
Calon Pakatan Harapan Tampin

Show More

Related Articles

Back to top button