Hakisan tanah di Jalan Seroja terima perhatian MBS

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren telah mengadakan sidang media berhubung isu tanah runtuh yang berlaku di belakang rumah di Jalan Seroja, Taman Seremban Garden.
Dalam sidang media yang diadakan pada jam 10.00 pagi itu, beliau menjelaskan bahawa masalah hakisan tanah yang dihadapi penduduk telah mendapat perhatian segera daripada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Menurut beliau, pihak MBS telah turun padang meninjau kawasan terjejas dan kerja-kerja pembaikan serta pengukuhan cerun kini sedang dilaksanakan.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Setiap aduan masyarakat akan diberi perhatian sewajarnya dan tindakan segera akan diambil bagi memastikan kesejahteraan penduduk terjamin,” tegas Gunasekaren.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media yang hadir serta pihak MBS dan agensi berkaitan atas komitmen mereka dalam menangani isu ini dengan segera.