Ironinya Pilihan Raya Negeri Melaka
EDY NOOR REDUAN: Sepanjang dua minggu membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dapat saya rumuskan bahawa perjalanan pilihanraya kali ini amat berbeza dengan norma baharu yang diperkenalkan. Beza memang berbeza.
Tiada ceramah umum, tiada ceramah kelompok, hanya yang ada sesi ‘touch and go’ calon bertemu pengundi ditemani pimpinan parti. Hanya juga yang ada, ialah kempen dari televisyen terus ke dalam rumah. Mudah bukan?
Namun saya percaya suasana yang sangat terhad yang terpaksa dilalui oleh pihak pembangkang tidak menghalang setiap aktiviti tersebut diterjemahkan secara positif di atas kertas undi.
Perang bendera tidak kurang meriahnya apabila logo bendera biru-biru tua yang tercemar pelbagai skandal disulami merah menyala warna Harapan Melaka. Pengundi akan cenderung untuk memilih pihak yang terserlah dan dijangka menang dengan perpecahan undi di atas retorik penyatuan bangsa.
Logo parti agama yang langsung tak kelihatan tidak sesekali merencatkan suasana, ini mungkin kali pertama pilihanraya besar tanpa paparkan logo bulan. Syukurlah, mereka tunduk dengan godaan jawatan.
Ketika BN seperti hilang punca untuk memilih calon Ketua Menteri, PN pula begitu yakin memaparkan Tan Sri Mahiaddin sebagai jualan amal di Melaka. Poster Mahiaddin terlihat paling banyak terpampang seolah beliaulah calon Ketua Menteri Melaka.
Jangankan SOP, malah undang-undang pilihan raya seolah diubah untuk memberi laluan kepada gambar ‘abah’ dipapar merata tanpa bergandingan dengan calon yang bertanding. Mereka fikir ‘abah’ akan bawak tuah, tapi mereka lupa ini abah yang sibuk nak merotan dikala PKP dulu rupanya orang dah menyampah.
Pilihanraya kali ini juga memperlihatkan bagaimana menonjolnya negeri yang tidak ada pilihanraya iaitu Negeri Sembilan yang begitu rancak menyusun pembangunan ketika kempen PRN di Melaka.
Mana tidaknya, ketika kempen PRN Melaka berlangsung, Negeri Sembilan muncul sebagai sebuah negeri yang hampir semua jalanraya diberi nafas baharu, mana-mana kita pergi pun jalan tar baharu.
Malah ketika yang sama telah dibina pembangunan berikut;
▶️ Billboard Gergasi di Kuala Pilah
▶️ Masjid baru Warisan Puteri
▶️ Masjid baru Forest Heights
▶️ Jambatan baru Batang Benar dan Taman Industri Nilai.
Apakah negeri Melaka atau Negeri Sembilan yang sedang berlangsung kempen pilihan raya? Nampaknya TokMin begitu cekap mencuri tumpuan, belum pilihanraya pun macam-macam pembangunan didahulukan untuk rakyat.
Apakah rakyat negeri Melaka tidak teringin memiliki sebuah kerajaan yang penuh hemah, hikmah, integriti dan berdedikasi seperti di Negeri Sembilan? Jangan cerita bab Selangor dan Pulau Pinang, banding epal kepada epal. Jangan juga banding dengan Kelantan.
Ayuh rakyat negeri Melaka, Majulah bersama Harapan! Undi anda adalah penting untuk menentukan polisi terbaik untuk diri dan keluarga.
Reformasi tetap bergema!
Edy Noor Reduan
Negeri Sembilan Update (NSU)