Berita

276 pelajar terima bantuan persekolahan daripada Yayasan Munarah

SEREMBAN: Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Tahun 2026 adalah inisiatif tunjang Yayasan Munarah, yang bertujuan untuk memastikan anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan, dengan yakin, dan ceria.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Munarah, Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkata, bagi sesi ini, sebanyak 276 permohonan pelajar telah diluluskan.

Penyerahan dah bermula sepanjang minggu ini, setiap pelajar menerima dua pasang seragam sekolah, sepasang baju Melayu putih, dua pasang kasut, seluar sukan, serta tiga pasang stokin.

“Hari ini, hasil kerjasama bersama pihak SWM Environment, adik-adik di sini bertuah, kerana akan menerima bantuan tambahan alatan tulis dan beg sekolah baharu.

“Suka saya menekankan, kerjasama korporat yang erat dengan syarikat-syarikat swasta seperti SWM Environment amatlah kami alu-alukan dan penting.

“Ianya membuktikan, skala program dapat ditingkatkan dan beri impak yang lebih meluas kepada masyarakat setempat,” kata Tunku Ali Redhauddin.

Tunku Ali Redhauddin merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong, atas kesudian meneruskan kerjasama ini buat tahun kedua.

Beliau berkata, adalah matlamat Yayasan Munarah untuk sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan serta memastikan kekangan ekonomi tidak menjadi penghalang kepada anak-anak, untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.

Sejak penubuhan Yayasan Munarah, seramai 5,000 pelajar telah menerima manfaat daripada program ‘Back to School’.

“Jumlah ini bukan sekadar angka, tetapi melambangkan komitmen berterusan kita terhadap generasi muda.

“Besarlah harapan, ianya dapat membantu kewangan para ibu bapa dan penjaga sekalian.

“Semoga anda terus cekal membimbing, dan menyokong pembelajaran anak-anak dengan penuh kasih sayang.

“Kepada para pelajar yang akan kembali ke sekolah minggu hadapan, ingatlah bahawa setiap hari di sekolah adalah peluang mencorak masa depan yang cerah,” ujarnya.

Tunku Ali Redhauddin juga menasihatkan pelajar yang hadir agar menambah kemahiran melalui aktiviti ko-kurikulum, hobi yang bermanfaat, terokai teknologi dan robotik serta bidang AI.

“Binalah sahsiah yang baik, hormati ibu bapa dan guru serta hargai persahabatan.

“Saya doakan yang terbaik buat pelajar sekalian dan selamat maju jaya.

“Di kesempatan ini, saya turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada kakitangan Yayasan Munarah, SWM Environment serta Hotel Royal Chulan Seremban yang telah menyumbangkan masa dan tenaga untuk menjayakan program ini,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button