BeritaMenarik

Kadar keciciran murid berjaya diturunkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pendekatan holistik bagi menangani isu keciciran murid termasuk menerusi insiatif dan intervensi, kerjasama dengan pelbagai pihak serta mekanisme pengurusan dan pemantauan berterusan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kejayaan menangani isu keciciran murid dibuktikan menerusi penurunan signifikan yang ditunjukkan sepanjang tempoh dari tahun 2020 hingga 2024.

“Pada peringkat rendah, kadar keciciran murid menurun daripada 0.10 peratus pada tahun 2020 kepada 0.06 peratus pada tahun 2024.

“Manakala di peringkat menengah, kadar keciciran menurun daripada 1.13 peratus pada tahun 2020 kepada 0.64 peratus pada tahun 2024.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan KPM termasuk Sekolah Model Khas Komprehensif (K9 dan K11) yang menyediakan akses pendidikan yang berkualiti dan inklusif bagi pelajar di kawasan pedalaman dan luar bandar serta Program Outreach Murid Cicir,” ujarnya.

Wong berkata, bagi menangani kemiskinan multidimensi yang menjadi salah satu faktor utama keciciran murid, KPM menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan terdiri daripada 13 jenis Bantuan Persekolahan Khusus dan lima jenis Bantuan Persekolahan Umum.

“Ini termasuklah Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

“Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak juga dilaksanakan seperti Program Anak Kita dengan kerjasama Unit Pantau Madani Kementerian Kewangan, Yayasan Hasanah, pertubuhan masyarakat sivil dan universiti awam.

“Tiada kompromi terhadap isu keciciran murid.

“Usaha bagi menangani isu ini akan terus dijadikan tumpuan Kementerian pada tahun ini,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button