Kerajaan beri perhatian kepada kelestarian alam sekitar

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) Bilangan 1 Tahun 2025 di Hotel Zenith, Putrajaya.
Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio berkaitan alam sekitar dari seluruh negara, serta pegawai-pegawai kementerian, jabatan, dan agensi berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Penyertaan yang komprehensif ini mencerminkan komitmen bersama untuk menangani isu-isu alam sekitar secara menyeluruh dan inklusif.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, tujuan utama mesyuarat ini adalah untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda kelestarian alam sekitar.
“Isu-isu yang dibincangkan merangkumi pelbagai aspek termasuk dasar pengurusan alam sekitar, perlindungan biodiversiti, pembangunan mampan, serta pelaksanaan inisiatif hijau untuk menangani perubahan iklim dan memastikan kelestarian sumber asli untuk generasi masa hadapan.
“MEXCOE turut memberikan platform penting untuk memastikan penyelarasan dasar di antara peringkat persekutuan dan negeri, sekaligus memupuk usaha kolektif dalam membina negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan kelestarian alam sekitar sebagai tunjang utama dalam pembangunan negara, yang berasaskan prinsip keterangkuman dan kemampanan.
“Kerjasama erat ini diharapkan akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negara, bukan sahaja dari sudut pemeliharaan alam sekitar, malah dari aspek pembangunan sosioekonomi yang mapan,” kata Veerapan.