SJKT Ladang Repah anjur jamuan Hari Raya

TAMPIN: Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Repah telah menganjurkan jamuan Hari Raya Aidilfitri dan telah menjemput Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa sebagai tetamu kehormat.
“Terima kasih di atas jemputan dan layanan mesra daripada warga SJKT Ladang Repah sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan.
“Saya amat menghargai usaha pihak sekolah yang mengambil inisiatif menganjurkan majlis seperti ini yang bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kaum dan komuniti setempat, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam suasana yang penuh harmoni.
“SJKT Ladang Repah wajar dijadikan contoh kepada sekolah-sekolah lain di atas komitmen memupuk perpaduan antara kaum dan usaha mereka dalam membina jalinan muhibah yang begitu bermakna.
“Sekolah yang bersih, kemas dan prasarana yang baik juga menunjukkan komitmen guru-guru dan ibu bapa dalam usaha memastikan anak-anak mereka berjaya dalam Pendidikan,” kata Mohd Isam.
Mohd Isam mengucapkan tahniah dan syabas kepada Guru Besar SJKT Ladang Repah, Vasu Karupiah dan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini.