Berita

1,383 peserta dari Negeri Sembilan bakal menunaikan ibadah haji

NILAI: Seramai 1,383 peserta dari Negeri Sembilan bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ibadah haji menuntut kekuatan fizikal dan kesabaran yang tinggi.

Justeru itu, Aminuddin mengingatkan semua jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan dan pemakanan semasa berada di tanah suci.

“Setiap ujian yang datang adalah peluang untuk kita mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

“Saya mendoakan agar semua jemaah diberikan kelancaran urusan, dikurniakan haji yang mabrur serta selamat pergi dan pulang.

“Semoga kenangan yang terukir menjadi saksi pengorbanan dalam menunaikan rukun Islam kelima ini.

“Dengan penuh rendah hati, saya memohon para jemaah mendoakan saya serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan agar sentiasa berada di bawah bimbingan Allah S.W.T dalam melaksanakan amanah.

“Doakan juga agar negeri ini terus diberkati dan dilimpahi rahmat-Nya, Insya Allah,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan 1446H/2025M yang berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, jemaah haji sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan dari aspek ibadah khususnya manasik haji.

“Seperti mana bakal haji yang lain, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan telah pun menjalani beberapa kursus yang dianjurkan oleh Tabung Haji sebelum ini seperti Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan pada hari ini, Kursus Perdana Haji.

“Kita semua maklum bahawa kursus-kursus ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman kita berkaitan manasik haji dan perkara-perkara yang berkaitan, sama ada daripada aspek kesihatan mahupun pengurusan.

“Proses penambahbaikan kursus-kursus haji telah memberikan kemudahan kepada semua jemaah haji Malaysia yang akhirnya memberikan pengiktirafan yang terbaik kepada pengurusan jemaah haji yang dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji.

“Terima kasih diucapkan kepada para pembimbing ibadat haji atas usaha mereka untuk menyampaikan amanah ilmu dan kefahaman dalam membimbing bakal haji sebagai persediaan untuk menunaikan haji kelak,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button