Kerajaan Negeri ambil inisiatif pertingkat bekalan air di Port Dickson
BAGAN PINANG: Penyelaras DUN Bagan Pinang, Tuan Nasir Raman melawat Loji Rawatan Air Sungai Linggi, Rantau untuk mendengar taklimat dan penerangan dari pihak SAINS berkenaan isu gangguan bekalan air yang beberapa kali berlaku di sekitar Port Dickson tahun ini.
Menurut Nasir, pihak SAINS memaklumkan kualiti air merosot sejak berlakunya banjir besar pada penghujung tahun lalu yang melibatkan sungai-sungai utama di Negeri Sembilan yang menjadi punca air kepada negeri ini.
“Kualiti air yang teruk menyebabkan loji rawatan terpaksa berkerja melebihi kemampuan untuk mencapai standard kualiti yang ditetapkan supaya air yang sampai ke rumah benar-benar bersih dan berkualiti.
“Akibatnya, berlaku kekurangan air bersih yang telah diproses.
“Pada masa ini, pihak SAINS telah menyambung bekalan air dari loji rawatan air di Kampung Sawah, Rembau untuk menampung keperluan air di Batu 4 dan Batu 5, Port Dickson,” jelas Nasir.
Nasir berkata, untuk jangka masa panjang, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif untuk membina kolam-kolam takungan di Sungai Linggi untuk menjadi sumber air mentah.
“Kolam-kolam takungan ini akan berfungsi sebagai pembekal air mentah kepada loji rawatan bagi mengganti kaedah sekarang yang menggunakan air mentah terus dari sungai.
“Kolam-kolam takungan ini adalah kaedah untuk mendapat sumber air mentah yang lebih bersih.
“Semoga usaha SAINS untuk memastikan sistem bekalan air bersih dapat diselenggara dan diperbaiki dengan baik dipermudahkan,” kata Nasir.
Taklimat diberikan oleh Pengarah SAINS Negeri Sembilan, Tnuan Ir.Mohd Yazid Ahmad dan Pengurus SAINS Daerah Port Dickson, Puan Zuraidah Mohd Idris.
Turut hadir, Penyelaras DUN Linggi, Tuan Rusli Abdullah.