Berita

Kerajaan Negeri perkenal insuran perlindungan penghantar makanan

SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan memperkenalkan Insuran Takaful Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH), khas untuk penghantar makanan (rider).

Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani (Paroi-Pakatan Harapan) berkata, insuran takaful ini akan ditawarkan kepada 500 penghantar makanan pertama dari seluruh Negeri Sembilan.

Skim perlindungan takaful khusus buat golongan belia penghantar makanan ini dijangka akan dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun pada 16 September ini.

Perlindungan yang diberikan kepada penghantar makanan adalah:

1. RM10,000 – tuntutan bagi waris jika berlaku kematian akibat kemalangan.

2. RM10,000 – tuntutan sekiranya berlaku kecacatan kekal.

3. RM1,000 – bayaran kos perubatan hospital.

4. RM1,000 – bagi khairat kematian.

“Perlindungan insuran ini untuk tempoh setahun dan peserta akan menerima kad Takaful TABAH sebagai tanda penyertaan skim perlindungan ini.

“Syarat permohonan insuran ialah pemohon mesti berumur bawah 40 tahun, bekerja sepenuh masa sebagai penghantar makanan, pendapatan bulanan kurang dari RM3,000 dan menetap di Negeri Sembilan.

Mohamad Taufek berkata demikian di Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

Meringankan beban jika berlaku kemalangan 

Menurut Mohamad Taufek lagi, objektif pelaksanaan Skim Takaful Belia TABAH ini adalah untuk memberi kemudahan kepada penghantar makanan untuk memiliki polisi insuran asas peribadi yang boleh membantu meringankan beban jika berlaku kemalangan semasa bertugas.

“Skim ini juga memberi kesedaran keperluan kepada pekerja berisiko tinggi untuk mempunyai insuran yang boleh digunakan pada masa kecemasan.

“Selain itu ianya juga bagi meringankan beban pekerja penghantar makanan yang tidak bergaji tetap untuk memiliki polisi insuran,” jelas Mohamad Taufek.

 

Credit Photo: dreamstime.com

Show More

Related Articles

Back to top button