Kerajaan Negeri Sembilan sasar siapkan 10 buah masjid
SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan mensasarkan untuk menyiapkan 10 buah masjid di seluruh negeri menjelang tahun hadapan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan masjid ini adalah hasil daripada kesedaran Kerajaan Negeri tentang kepentingan pembangunan yang baik dan efisien buat rakyat Negeri Sembilan.
“Terdapat enam buah masjid yang dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM41 juta.
“Dalam masa sama, empat buah masjid lagi dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM23.5 juta.
“Dengan wujudnya masjid ini dapat membolehkan umat Islam di Negeri Sembilan beribadah dengan lebih selesa.
“Besarlah harapan saya agar pembinaan ini dapat menyebarkan syiar Islam di samping mengukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini, Insya Allah,” kata Aminuddin.
10 buah masjid tersebut adalah:
i. Masjid Warisan Puteri, Seremban.
ii. Masjid Forest Heights, Seremban.
iii. Masjid Taman Senangin, Seremban.
iv. Masjid Bandar Seremban Selatan, Seremban.
v. Masjid Kariah Seri Kendong, Rembau.
vi. Masjid Rahmania, Jempol.
vii. Masjid Nilai Impian, Seremban.
viii. Masjid Bukit Kepayang, Seremban.
ix. Masjid Seremban 3, Seremban.
x. Masjid Kerangai, Jelebu.