Kolumnis

Teroka Daerah: Tampin

Hai semua! Kami kembali lagi dengan edisi Teroka Daerah yang mempersembahkan lokasi-lokasi menarik untuk dilawati di setiap daerah di Negeri Sembilan.

Kali ini, kami bawa anda semua ke sebuah daerah yang bersempadan dengan Melaka, iaitu Tampin.

Sebuah daerah yang dikenali dengan kehijauan alamnya, sejarahnya yang menarik, serta hidangan tradisional yang lazat, Tampin adalah destinasi sesuai untuk pelancong yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota.

Bagi mereka yang meminati aktiviti-aktiviti lasak, saya yakin anda semua akan tertarik dengan edisi kali ini kerana terdapat beberapa lokasi menarik yang boleh anda kunjungi.

1) Gua Batu Maloi


Gua yang terkenal dengan batu kapur yang menakjubkan ini serta laluan pengembaraan mencabar sudah tentu menawarkan pengalaman berharga kepada anda. Pelbagai aktiviti menanti anda—berjalan dalam gua, meredah sungai, sambil dikelilingi flora dan fauna yang mempesonakan.

2) Gunung Tampin

Selain daripada Gua Batu Maloi, Gunung Tampin juga merupakan satu lagi destinasi sesuai bagi para penggemar aktiviti lasak atau hiking. Gunung ini juga merupakan permulaan ataupun pengakhiran bagi laluan Trans-Naning. Oleh itu, mereka yang ingin mula berlatih mendaki boleh datang ke sini untuk mencuba terlebih dahulu sebelum menjadikannya hobi.

3) Tampin Water Park


Taman Permainan Air Tampin yang mula dibuka pada tahun 2019 ini menawarkan taman tema yang terletak di tengah-tengah keindahan semula jadi Hutan Lipur Gunung Tampin. Bagi mereka yang datang bersama keluarga, tempat ini sudah tentu sesuai untuk meluangkan masa bersama yang tersayang.

Setelah melakukan aktiviti ini, sudah tentu anda perlukan rehat ditemani kehangatan kopi yang menambahkan rasa nyaman dalam diri.

Usah gusar, usah khuatir, kerana di Tampin ini terdapat beberapa tempat menarik untuk mengopi yang saya sendiri pernah lawati.

1) Kayo Cafe


Kedai yang terletak di Lorong Seni Tampin ini membuatkan anda mengimbau kenangan lama kerana ia bertemakan retro dan klasik. Bagi mereka yang gemar mengambil gambar, kedai ini sangat sesuai kerana menawarkan pelbagai sudut bergambar yang menarik. Dalam masa yang sama, sajian kopi di sini sangat memuaskan dengan rasa yang seimbang dan memikat.

2) Hide or Out Cafe


Antara kedai pilihan saya apabila ke Tampin. Suasana di sini sangat tenteram, dan antara pilihan kegemaran saya ialah Apong Latte serta Apong Long Black. Kedai ini juga menyediakan manisan yang mampu menjadikan anda ketagih! Tambahan pula, keunikan kedai ini terserlah dengan kehadiran ramen dalam menu makanan mereka.

Tapi bagi mereka yang mengutamakan makanan berat selepas melakukan aktiviti lasak, ataupun mungkin yang datang dari jauh dan perlu mengisi perut terlebih dahulu—jangan risau, Tampin ada banyak pilihan kedai makan, daripada yang sedap, hinggalah ke yang paling sedap!

1) Lomak Salai

Antara kedai paling viral di Tampin. Menyediakan pelbagai hidangan Negeri Sembilan dengan rasa yang cukup memikat hati. Tapi, anda kena tahu—jarang-jarang sekali anda boleh makan di sini tanpa perlu beratur. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

2) Mama Nor

Kedai ini berkonsepkan Masakan Cina Muslim, dengan Yong Tau Fu sebagai menu utama. Disertakan dengan sos resipi istimewa keluarga, ia pasti dapat memikat hati para pengunjung.

Aktiviti lasak sudah, menghirup kopi pun selesa, perut pun dah terisi.

Sampai di sini sahaja edisi Teroka Daerah kali ini. Jumpa lagi dalam edisi akan datang!

Show More

Related Articles

Back to top button