MTEN perkukuh tindakan tangani krisis global
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang terus meneliti kesan krisis tenaga global dengan fokus utama melindungi rakyat serta menjamin keterjaminan bekalan strategik negara.
Menurut beliau, usaha membanteras ketirisan dan penyeludupan akan terus diperkukuh melalui pemantauan rantaian bekalan yang lebih ketat serta pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Kerajaan juga memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan melalui pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import serta pelan kecemasan bagi memastikan keperluan kritikal sentiasa mencukupi.
“Insya Allah, Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara tersusun dan bertanggungjawab untuk mengurus krisis ini dengan berkesan, memastikan rakyat dilindungi dan negara kekal berdaya tahan,” kata beliau.
Dalam jangka panjang, kerajaan akan memperkukuh stok penimbal strategik, membangunkan industri tempatan serta merangka dasar menyeluruh menerusi inisiatif MyMedSecure.
Mesyuarat itu turut meneliti aspek operasi haji melibatkan 31,600 jemaah Malaysia dengan penekanan kepada keselamatan dan kebajikan mereka.



