BeritaProgram

MVV 2.0: Taman Perindustrian Hamilton, Nilai dijangka siap November 2023

SEREMBAN: Pembangunan Taman Perindustrian baharu di Hamilton, Nilai, MVV 2.0 yang dilancarkan pada 26 Oktober 2021; yang seluas 188 ekar (Fasa 1 dan 2) dijangka siap menjelang November 2023.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan XME Business Park, Nilai Impian seluas hampir 70 ekar juga sedang giat dijalankan pihak pemaju dan lebih 70 peratus lot yang ditawarkan telah terjual.

“Atas kejayaan yang tersebut, usaha pembangunan kawasan berkenaan tidak terhenti setakat itu sahaja dengan fasa selanjutnya pembangunan kawasan perindustrian Hamilton sedang diperincikan.

“Manakala, kawasan New Labu di Parcel A kini dalam penyediaan pelan susun atur oleh pihak pemaju dengan penetapan pelancaran pada tahun 2024.

“Pembangunan ini akan dapat membantu meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan di Negeri Sembilan,’kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Rahang, YB Mary Josephine Prittam Singh di Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Khamis.

Jalan raya Nilai – Bandar Enstek dijangka siap 2023

Dalam pada itu, Aminuddin berkata projek pembangunan jalan raya baru dari Nilai ke Bandar Enstek juga sedang berjalan dan dijangka siap pada tahun 2023 yang mana akan dapat menghubungkan kawasan projek heartbeat MVV secara holistik.

“Selain daripada itu, perbincangan bagi pembangunan Parcel B dan C, MVV 2.0 sedang berjalan antara agensi berkaitan pelaburan Kerajaan Negeri bersama pihak berkepentingan.

“Pada masa yang sama, usaha bagi meningkatkan pelaburan di Port Dickson turut sama direncanakan dengan usaha bagi membangunkan kawasan pesisir pantai Port Dickson sebagai sebuah hab maritim dijangka akan dapat meningkatkan ekonomi dan persekitaran kawasan tersebut,” kata beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button