Berita

Negeri Sembilan catat kutipan hasil RM785 juta pada tahun 2025

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sehingga 31 Disember 2025 hasil negeri yang berjaya dikutip berjumlah RM785.2 juta bersamaan 203.25 peratus daripada sasaran Kerajaan Negeri untuk tahun lalu iaitu RM590 juta.

“Ini menjadikan negeri ini mencatat Surplus selama empat tahun berturut-turut.

“Tahniah dan terima kasih saya rakamkan kepada semua Pejabat Pemungut Hasil serta Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri atas kejayaan melaksanakan tugas dengan penuh integriti, dedikasi dan cemerlang.

“Kecemerlangan kutipan hasil, perbelanjaan, rizab Negeri mahupun tatakelola, profesionalisme dan dedikasi penjawat awam di Negeri Sembilan membantu kita memperoleh Sijil Audit Bersih Tanpa Teguran selama tujuh tahun berturut-turut semenjak tahun 2017,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2026 di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad.

Menurut beliau lagi, fokus pentadbiran pada hari ini adalah menjurus kepada persoalan yang lebih mendasar, iaitu bagaimanakah sesuatu perancangan itu dapat disempurnakan mengikut masa yang telah ditetapkan, dengan hasil yang nyata dan dirasai rakyat.

“Rakyat tidak peduli berapa nilai surplus kita capai setiap tahun.

“Tetapi rakyat mahu rasakan apa yang mereka perolehi hasil dari kekayaan negeri yang diterjemahkan dengan nilai surplus tersebut.

“Maka, pendekatan ini menuntut satu perubahan cara fikir dan budaya kerja dalam perkhidmatan awam negeri.

“Setiap isu dan cabaran yang timbul semasa pelaksanaan tidak boleh lagi ditangguhkan atau diserahkan kepada proses yang berlarutan, sebaliknya perlu ditangani secara segera berasaskan keadaan semasa di lapangan,” ulas Aminuddin.

Aminuddin berkata, kecekapan hari ini bukan sekadar diukur melalui penyediaan laporan yang lengkap, tetapi melalui keupayaan membuat keputusan tepat, menyelaras tindakan merentas jabatan dan menyelesaikan permasalahan dengan pantas serta berkesan.

“Sesungguhnya, amanah dan kepercayaan rakyat bergantung kepada keupayaan kita menunaikan janji dalam tempoh yang telah ditetapkan.

“Apabila penjawat awam mampu melaksanakan dasar dan inisiatif negeri secara cekap, berdisiplin dan berakauntabiliti, maka keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negeri akan terus diperkukuh.

“Inilah wajah pentadbiran yang ingin kita bina — sebuah pentadbiran yang bukan sahaja merancang dengan baik, tetapi menyampaikan hasil tepat pada masanya, demi kemajuan Negeri Sembilan dan kesejahteraan seluruh rakyatnya,” jelas Aminuddin.

 

Show More

Related Articles

Back to top button