Berita

Negeri Sembilan lulus RUU Tanah Adat

SEREMBAN: Persidangan Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-14, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung Dan Tanah Adat Lingkungan 2022 dan RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (Pindaan) 2022.

RUU ini diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun dan diluluskan Yang Dipertua DUN, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar, selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Aminuddin berkata, terdapat keperluan untuk mengemaskini undang-undang bertulis yang melibatkan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan agar urusan tanah adat tersebut lebih tersusun dan sistematik.

Oleh itu penggubalan Rang Undang-Undang Pemegangan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan 2022 ini memfokuskan kepada lima matlamat iaitu:

1. Meminda Customary Tenure (Lengkongan Lands) Enactment 1960 (Disemak—2017);

2. Menyediakan teks sahih dalam Bahasa Melayu;

3. Mengemas kini undang-undang tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan agar selari dengan perkembangan hal ehwal tanah masa kini;

4. Mewujudkan peruntukan-peruntukan baharu berkenaan pembangunan tanah adat luak tanah mengandung dan tanah adat lingkungan dengan mengekalkan prinsip-prinsip adat;

5. Menambah baik peruntukan-peruntukan sedia ada agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan.

“RUU ini akan memberi manfaat yang besar kepada Negeri Sembilan kerana peruntukkan baharu dalam RUU ini akan membolehkan Tanah Adat Luak Tanah Mengandung dan Tanah Adat Lingkungan di daerah Kuala Pilah dan Jempol dibangunkan tanpa perlu membatalkan status Tanah Adat dan Tanah Lingkungan serta sekaligus boleh menyelesaikan masalah Tanah Adat yang terbiar dan tidak terjaga yang membelenggu negeri ini sekian lama,” jelas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button