Berita

Pakatan Harapan menjunjung manifesto PRU-14

SEREMBAN: Pakatan Harapan Negeri Sembilan menjunjung manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, apabila membawa usul mengehadkan tempoh jawatan menteri besar kepada dua penggal pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 2 Disember lalu.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, bagi melaksanakan manifesto Pakatan Harapan PRU-14, Kerajaan Negeri telah membawa usul tersebut di Persidangan DUN.

“Walaupun enakmen tersebut tidak dapat diwartakan di DUN (tidak mendapat majoriti dua pertiga), tetapi kita telah berusaha melaksanakan apa yang pernah dijanjikan dalam manifesto, dengan membawa usul tersebut di DUN,” katanya.

Aminuddin berkata demikian pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi Perkara 38 mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal tidak diluluskan susulan tidak mendapat majoriti sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kuasa ibarat candu

Pada Persidangan DUN, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, YB Loke Siew Fook berkata, sistem mengehadkan tempoh memegang jawatan, mampu memandu kemajuan demokrasi dan ekonomi.

Beliau berkata, individu yang paling berkuasa tidak boleh memegang jawatan terlalu lama.

“Kerana kuasa ini macam candu. kalau belum dapat kuasa, ianya dikejar. Kalau dah dapat kuasa, tidak mahu lepaskan.

“Banyak kes di seluruh dunia, apabila seorang pemimpin memegang jawatan begitu lama, maka dia akan maha berkuasa.

“Apabila maha berkuasa, maka banyak penyalahgunaan kuasa akan berlaku

“Sebab itu ada cadangan untuk mengehadkan kuasa seseorang pemimpin itu walaupun betapa hebatnya pemimpin itu,” katanya dalam sesi perbahasan Persidangan DUN pada 2 Disember lalu.

 

Foto: Nabil Syafiq

Show More

Related Articles

Back to top button