Pantai Port Dickson selamat, insiden ubur-ubur tidak menjejaskan

PORT DICKSON: Orang ramai masih boleh berkunjung ke pantai sekitar Port Dickson seperti biasa kerana tahap keselamatan di lokasi itu kekal terkawal, walaupun terdapat satu kejadian sengatan ubur-ubur melibatkan seorang remaja perempuan, beberapa hari lalu.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, kejadian terbabit disifatkan sebagai kes terpencil dan mangsa berusia 13 tahun yang disengat ketika mandi-manda di Pantai Cahaya Negeri kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan bersama nelayan tempatan juga mendapati tiada kehadiran ubur-ubur dalam jumlah luar biasa atau ‘ledakan’ dikesan di perairan Port Dickson setakat ini.
Katanya, rekod menunjukkan kejadian sengatan ubur-ubur kali terakhir dilaporkan berlaku di kawasan perairan Port Dickson adalah pada tahun 2013.
Dalam pada itu, Kasim memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan dari semasa ke semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat kes berulang, bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya kekal berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti air, namun menegaskan tiada sebarang halangan untuk pengunjung mandi-manda serta melakukan aktiviti rekreasi di pantai berkenaan.



