Paya Bakau Port Dickson dirizab sebagai hutan simpan kekal

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengambil langkah untuk merizabkan 400 hektar paya bakau di Port Dickson sebagai hutan simpan kekal di bawah Seksyen 7(1) Akta Perhutanan Negara 1984 bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata beliau telah mendapat makluman dalam pembentangan Pejabat Tanah Port Dickson mengenai cadangan rizab tersebut.
“Langkah ini penting bagi memastikan kawasan hijau, yang menjadi sumber makanan laut, habitat hidupan laut dan unggas, terus terpelihara. Kita mahu generasi akan datang dapat hidup dalam keadaan yang menjaga alam sekitar,” katanya sewaktu ditemui dalam sidang media.
Beliau berkata, kawasan ini penting kerana melibatkan zon pantai yang bersempadan dengan Sepang, Selangor sehingga ke Linggi, Melaka yang perlu diberi tumpuan bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.
Tambahnya lagi, cadangan tersebut sedang disemak dan ditambah baik oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan Pejabat Tanah Daerah Port Dickson bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah pada masa akan datang termasuk penentuan keluasan sebenar kawasan yang akan dirizabkan.



