Pengurusan pelarian lebih tersusun mulai 2026

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Keselamatan Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka Bil. 1/2026 bagi meneliti semula pendekatan negara dalam mengurus isu pelarian dan pemohon suaka yang semakin mencabar.
Mesyuarat tersebut turut disertai pelbagai agensi berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
Menurut beliau, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh koordinasi antara agensi selain memastikan aspek keselamatan negara terus terpelihara.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh koordinasi antara agensi dan memastikan aspek keselamatan negara terus terpelihara, di samping pengurusan isu ini dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula pada 1 Januari 2026 merupakan langkah penting ke arah pengurusan yang lebih teratur.
“Inisiatif ini membolehkan kita mengumpulkan data yang lebih jelas dan menyeluruh supaya proses kawal selia dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan,” ujar beliau.
Tambahnya, kerajaan akan terus memperkukuh usaha penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Insya Allah, usaha ini akan terus diperkukuh agar pengurusan isu pelarian dan pemohon suaka lebih jelas, terkawal serta memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.



