SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Perbadanan NS telah bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui Memorandum of Understanding (MOU) yang telah ditandatangani pada 23 Mei 2024.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, inisiatif ini diambil dalam usaha memastikan tenaga kerja di Negeri Sembilan kompeten dan berdaya tahan dalam arus pembangunan industri global,
“Kerjasama ini adalah bagi menggalakkan dan menghubungkan pembangunan kemahiran dengan industri yang berpotensi di Negeri Sembilan.
“Jalinan kerjasama antara Perbadanan NS dan CIDB dilihat mampu meningkatkan kualiti industri pembinaan melalui pembangunan tenaga kerja, peningkatan kualiti, keselamatan dan kesihatan serta penempatan kakitangan dan kontraktor terlatih,” kata Aminuddin.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik dan menyokong hasrat CIDB bagi membangunkan Kompleks CIDB Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia di Negeri Sembilan.
“Semoga usaha ini dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
“Dengan adanya kerjasama strategik dengan pihak swasta dan kerajaan ini, kita berharap dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan menyeluruh, seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) dan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15.