Berita

DUN Negeri Sembilan sedia bersidang,” Aminuddin

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan amat prihatin dan bersedia untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri seberapa segera, tertakluk kepada perkenan Ke Bawah DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Menteri besar negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata,beliau telah mengadakan perbincangan dengan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan bagi merancang pelaksanaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan.

“Seterusnya saya akan mempersembahkan hasil perbincangan tersebut kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk mendapatkan perkenan Baginda Tuanku supaya persidangan DUN dapat diadakan seberapa segera.

“Sebarang tarikh persidangan yang akan diangkat untuk dipersembahkan bagi perkenan Ke Bawah DYMM Tuanku akan mengambil kira tempoh notis kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri iaitu sekurang-kurangnya 28 hari notis selaras dengan Peraturan IV, Perintah 5, Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Tahun 1960.

“Sekiranya mustahak dan perlu, notis yang seberapa segera boleh dikeluarkan tertakluk kepada perkenan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Tarikh dan tempoh persidangan juga akan mengambil kira tarikh prorog dan hari istiadat pembukaan Penggal Persidangan, tertakluk kepada perkenan DYMM Tuanku,” jelas Aminuddin.

DUN Negeri Sembilan kali terakhir bersidang pada 3 Disember 2020

Menurut Aminuddin, selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Proklamasi Darurat telah dilaksanakan pada 14 Januari 2021 yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021.

“Berdasarkan klausa 15(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, peruntukan berhubung urusan memanggil, memprorog dan membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mempunyai kesan.

“Dewan Undangan Negeri hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Dewan Undangan Negeri Sembilan kali terakhir bersidang pada 3 Disember 2020 iaitu persidangan selama 5 hari mulai pada 27 November (Jumaat), 30 November (Isnin) dan 1 hingga 3 Disember 2020.

“Berdasarkan Peraturan IV Perintah 2, Peraturan-peraturan Tetap dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Sembilan Tahun 1960, tarikh persidangan selanjutnya hendaklah diadakan tidak lebih enam (6) bulan dari tarikh 3 Disember 2020 iaitu jatuh pada 2 Jun 2021.

“Walaubagaimanapun, tempoh enam (6) bulan itu terhenti melalui proklamasi darurat berkenaan dan tempoh enam(6) bulan akan berjalan semula sejurus selepas 1 Ogos 2021 (sekiranya darurat tidak disambung lagi),” ulasnya lagi.

Foto: Persidangan Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan bertarikh 03 Disember 2020 

Show More

Related Articles

Back to top button