Berita

Projek selenggara longkang SJK(C) Sino English siap ikut jadual: NICOLE

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon mengadakan lawatan kerja bagi meninjau projek siap di bawah peruntukan P56 DUN Bukit Kepayang bagi memastikan pelaksanaannya menepati spesifikasi dan tempoh masa ditetapkan.

Lawatan tersebut diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Sino English, Seremban dan turut disertai Penghulu DUN Bukit Kepayang, Tuan Mohamad Aziz Kamaldin.

Menurut Nicole, projek penyelenggaraan longkang sepanjang 60 meter dengan kos keseluruhan RM28,700 itu telah berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata projek berkenaan penting bagi memastikan aspek keselamatan khususnya kepada para pelajar yang sering berada dan bergerak di sekitar kawasan sekolah.

Guru Besar SJK(C) Sino English, Puan Tee Lay Nee turut merakamkan penghargaan atas pelaksanaan projek tersebut yang disifatkan mampu mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan tahap keselamatan persekitaran sekolah.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah wakil Lembaga Pengelola Sekolah, Encik Lee Chee Yew serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Puan Lam Sew Ly.

Nicole dalam pada itu turut menghargai komitmen kontraktor yang bukan sahaja menyiapkan projek mengikut spesifikasi, malah turut melaksanakan kerja baik pulih tambahan termasuk pembaikan bumbung sekolah.

Show More

Related Articles

Back to top button