BeritaProgram

PRU-15: Nor Azman calon Pakatan Harapan di Kuala Pilah

SEREMBAN: Parti KeADILan Rakyat (PKR) mengumumkan Ustaz Nor Azman Mohamad sebagai calon Pakatan Harapan di Parlimen Kuala Pilah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Turut diumumkan Juftri Joha sebagai calon PKR/Pakatan Harapan di Parlimen Rembau.

Manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun telah diumumkan sebagai calon Parlimen Port Dickson oleh Presiden PKR, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas.

Nor Azman merupakan Setiausaha Akhbar kepada Aminuddin, sementara Jufitri adalah mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).

Zulkefly di Jelebu, Faiz di Tampin

Parti AMANAH Negara (AMANAH) pula sebelum ini telah mengumumkan Speaker DUN Negeri Sembilan, YB Dato’ Zulkefly Mohamad Omar sebagai calon Pakatan Harapan di Parlimen Jelebu.

Peguam Faiz Fadzil akan mempertahankan kerusi Parlimen Tampin yang sebelum ini disandang oleh Hasan Bahrom (AMANAH).

Manakala Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Negeri Sembilan, Puan Norwani Ahmat akan bertanding di Parlimen Jempol.

Loke dan Cha kekal di Seremban dan Rasah

DAP mengekalkan penyandang YB Anthony Loke Siew Fook bagi penggal ketiga sebagai calon Parlimen Seremban dan YB Cha Kee Chin kekal di Parlimen Rasah bagi penggal kedua.

Pada PRU-14, Pakatan Harapan memenangi lima daripada lapan kerusi parlimen di Negeri Sembilan iaitu Port Dickson (PKR), Seremban (DAP), Rasah (DAP), Tampin (AMANAH) dan Kuala Pilah (BERSATU).

Namun, pada Februari 2020, BERSATU keluar dari gabungan Pakatan Harapan yang juga dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Penamaan calon akan diadakan pada 5 November dan hari mengundi pada 19 November ini.

Show More

Related Articles

Back to top button