
Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Putrajaya baru-baru ini bukan sekadar sebuah majlis gimik pelancaran buku dasar.
Ia merupakan satu isyarat jelas bahawa Malaysia sedang beralih daripada model pendidikan ‘import’ kepada model ‘domestik’ yang lebih mampan.
Dengan tempoh pelaksanaan selama sedekad, RPN membawa misi besar: Melahirkan modal insan yang bukan sahaja mahir dalam teknologi kecerdasan buatan (AI), tetapi juga memiliki ‘hati’ dan adab yang tinggi.
Namun, di sebalik kemegahan angka dan visi ini, sejauh manakah ia mampu mengubah landskap pendidikan di sekolah-sekolah di pedalaman Jelebu atau di dewan kuliah universiti di bandaraya Seremban?
Mari kita bedah kehebatan dan cabaran rancangan besar ini.
Sejurus selepas ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kita boleh jalurkan dengan mudah lima kehebatan RPN 2026-2035 dan impaknya kepada para pelajar di negeri dan negara kita.
1. Inovasi ‘Buatan Malaysia’ 100 peratus: Berbeza dengan pelan-pelan sebelum ini yang sering dikaitkan dengan kepakaran perunding luar negara, RPN dibina sepenuhnya melalui kebijaksanaan 181 pakar tempatan dan suara lebih 8,000 pihak berkepentingan.
Impaknya, kurikulum dan pendekatan yang dihasilkan lebih ‘dekat’ dengan budaya serta nilai masyarakat Malaysia.
Anak-anak kita tidak lagi menjadi tikus makmal kepada teori pendidikan barat yang mungkin tidak relevan dengan konteks tempatan.
2. Penyatuan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – (Satu Kapal, Satu Haluan): Salah satu langkah paling drastik adalah pengambilalihan sistem pra-universiti (Tingkatan 6 dan Matrikulasi) oleh KPT.
Perkara ini memberi impak yang agak ketara terhadap dua entiti pendidikan tersebut, yang mana sebelum ini boleh dianggap sebagai platform transit pendidikan anak bangsa.
Pelajar tidak lagi mengalami ‘kejutan budaya’ atau pertindanan silibus apabila melangkah ke universiti.
Transisi menjadi lebih lancar, memastikan kesinambungan akademik yang lebih sistematik dari sekolah menengah terus ke peringkat ijazah.
3. Pendemokrasian Pendidikan – Akses percuma untuk golongan rentan: Komitmen kerajaan untuk menyediakan pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar kategori miskin melalui PTPTN dan 3,000 pelajar OKU adalah satu anjakan paradigma keadilan sosial.
Impaknya pula adalah, kemiskinan bukan lagi penghalang kepada impian. Pelajar cemerlang dari keluarga B40 kini mempunyai laluan ekspres untuk mengubah nasib keluarga tanpa bebanan hutang yang menghimpit seawal usia 20-an.
4. Keseimbangan antara teknologi dan manusiawi: Di tengah-tengah kerancakan teknologi baharu, RPN meletakkan adab dan jati diri sebagai tunjang. Ini adalah ubat kepada isu buli dan kerosakan moral yang kian meruncing.
Impaknya, kita bukan sahaja melahirkan ‘robot’ yang mahir mengekod (coding), tetapi manusia yang mempunyai empati, integriti, dan nilai murni. Pelajar akan lebih bersedia menghadapi cabaran mental dan sosial di alam kerjaya.
5. Penilaian pembelajaran yang lebih holistik: Keputusan untuk mengembalikan semula ujian menerusi pendekatan baharu penilaian (bukan sekadar peperiksaan berpusat yang kaku) menjawab keresahan ibu bapa mengenai tahap penguasaan anak-anak di sekolah.
Impaknya – Guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar lebih awal. Pelajar pula tidak lagi belajar semata-mata untuk skor ‘A’, tetapi untuk memahami ilmu secara mendalam melalui penilaian yang lebih menyeluruh.

Ruang Lingkup Negeri Sembilan: Dari Seremban ke luar bandar
Bagi masyarakat Negeri Sembilan, RPN 2026-2035 membawa sinar harapan yang unik. Negeri ini, yang dikenali sebagai hab pendidikan (seperti di Nilai dan Seremban 3), bakal menerima impak langsung daripada penyelarasan KPM-KPT.
Institusi seperti UiTM Seremban dan USIM akan melihat kemasukan pelajar pra-universiti yang lebih bersedia.
Bagi pelajar di kawasan pedalaman seperti di Kampung Simpang Durian, Jelebu atau Kampung Guntur di Kuala Pilah, penekanan kepada akses digital dan bantuan pelajar miskin dalam RPN akan memastikan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar di Negeri Sembilan dapat dikecilkan.
‘Anak Nogori’ tidak perlu bimbang tentang kualiti pendidikan; apa yang ada di sebuah sekolah menengah di Labu, sepatutnya sama kualitinya dengan apa yang ada di kawasan Kota, Rembau.
Cabaran RPN dalam radar netizen
Meskipun RPN nampak sempurna di atas kertas, warga maya (netizen) tetap melontarkan kritikan yang munasabah untuk perhatian kerajaan.
1. Isu Pelaksanaan dan Konsistensi Politik: Netizen sering membangkitkan isu ‘Menteri tukar, dasar tukar’. Kebimbangan utama adalah sama ada RPN ini mampu bertahan sehingga 2035 jika berlaku perubahan kepimpinan negara.
Rakyat mahukan jaminan bahawa pendidikan tidak dijadikan alat politik. Namun, sekiranya semua pemimpin mempunyai iltizam yang selari dengan aspirasi yang dibawa Kerajaan Perpaduan, perkara tersebut mungkin tidak menjadi isu yang perlu dirisaukan lagi.
2. Beban guru yang belum benar-benar selesai: Walaupun RPN menyebut tentang kebajikan guru, ramai pendidik di media sosial meragui sama ada tugas perkeranian akan benar-benar dikurangkan.
Tanpa pengurangan beban administratif yang nyata, kualiti pengajaran dalam bilik darjah akan tetap terjejas.
Perkara ini kita amat-amat mengharapkan pihak KPM dapat berlaku tegas dan rajin turun padang bagi memantau proses pelaksanaannya.
Kita tidak mahu ada pihak di peringkat jabatan pendidikan negeri atau pejabat pendidikan daerah cuba membuat ‘terjemahan mengikut selera sendiri’ terhadap penguatkuasaan arahan Menteri Pendidikan bagi mengurangkan beban guru.
3. Infrastruktur digital yang tidak merata: Fokus kepada teknologi baharu dianggap “angan-angan mat jenin” oleh sesetengah netizen jika isu asas seperti capaian internet di sekolah luar bandar dan kemudahan makmal komputer masih di tahap menyedihkan.
Teknologi memerlukan peranti dan data, bukan sekadar pelan di dalam buku. Perkara ini mungkin dapat diselesaikan sedikit demi sedikit sekiranya KPM dan Kerajaan Negeri (melalui Exco Pendidikan Negeri) saling dapat bekerjasama dengan lebih erat dalam melayani aduan dan saling memudahkan urusan penyelesaian antara satu sama lain.
Kesimpulan
Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 adalah sebuah dokumen yang berjiwa besar. Ia membawa nafas baharu dengan mengutamakan kepakaran tempatan dan nilai kemanusiaan.
Namun, kejayaan RPN tidak terletak pada megahnya pelancaran di Putrajaya, tetapi pada keberkesanan pelaksanaannya di bilik darjah yang paling terpencil.
Sekiranya kerajaan mampu menangani keraguan netizen mengenai konsistensi dan infrastruktur, RPN bakal menjadi legasi terbaik untuk generasi masa hadapan Malaysia.
Sarfarizmal Saad
Penganalisis isu semasa




