Berita

Seramai 32,364 pelajar tahun satu dijangka masuk tahun 2027 di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Seramai 32,364 murid dijangka memasuki Tahun Satu di Negeri Sembilan pada tahun hadapan. Angka ini berdasarkan ramalan penyertaan murid yang dibentangkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sekiranya ibu bapa memilih untuk menghantar anak berumur enam tahun ke Tahun Satu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata jumlah tersebut merangkumi 16,346 murid berumur tujuh tahun dan 16,018 murid berumur enam tahun selaras dengan cadangan kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu yang terkandung dalam Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang baru dibentangkan oleh kerajaan persekutuan.

Menurut beliau, ramalan itu memerlukan tambahan kira-kira 450 bilik darjah serta 3,600 guru tambahan.

Bagaimanapun, keperluan sebenar bilik darjah masih dalam proses semakan oleh JPNS.

“Kawasan luar bandar dijangka tidak menghadapi masalah besar namun kawasan bandar seperti Seremban dan sebahagian Port Dickson berkemungkinan terkesan termasuk pelaksanaan sekolah dua sesi dan isu kepadatan murid,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri disini.

“Saya berharap Kementerian Pendidikan Malaysia dapat mempertimbangkan permohonan JPNS bagi penyediaan antara 3,000 hingga 6,000 guru tambahan bagi memastikan pelaksanaan cadangan ini berjalan lancar,” tambahnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada JPNS atas penerangan dan pembentangan terperinci yang membantu pihak eksekutif memahami implikasi perancangan pendidikan pada masa hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button