BeritaMenarik

ISU BERAS: Jangan kita hilang nilai integriti

SEREMBAN: Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Jalaluddin Alias menyelar sikap sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menukar kampit Beras Putih Tempatan (BPT) kepada kampit Beras Putih Import (BPI) di peringkat pengilang atau pemborong seperti yang telah dikesan dalam beberapa operasi bersepadu pihak berkuasa.

Jalaluddin berkata, tujuan mereka bagi mendapatkan keuntungan berganda atas keperitan yang dihadapi rakyat di bawah.

“Persoalan saya, dimanakah hilangnya nilai integriti pengilang dan pemborong yang melakukan perbuatan ini?

“Saya tidak boleh berkompromi terhadap tindakan sesetengah pihak yang ‘menangguk di air keruh’ sehingga menyebabkan para pengguna atau rakyat menjadi mangsa ketamakkan sesetengan pengilang dan pemborong ini.

“Para penipu ini harus diburu pada setiap masa dan dikenakan tindakan undang-undang yang bertepatan dengan Peraturan Kawalan Gred dan Harga serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” kata Jalaluddin.

Jalaluddin juga menolak persepsi sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak cakna atau sekadar berdiam diri mengenai isu kekurangan bekalan beras di pasaran negara ini.

“Hakikatnya, kerajaan sudah dan sedang berusaha untuk memastikan bekalan beras tidak akan terputus, memandangkan ia merupakan makanan ruji rakyat di negara kita.

“Manakala harus diingat bahawa BPT adalah bahan kawalan pada harga sekitar RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg), manakala harga beras putih import pula tidak dikenakan kawalan, atau dengan kata lain ia ditentukan secara bebas oleh kuasa pasaran.

“Walaupun masih terdapat beberapa rungutan berkaitan kekurangan bekalan beras di pasaran, namun kita menjangkakan isu ini akan selesai dalam beberapa minggu lagi. Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga telah memberikan jaminan yang sama,” jelas Jalaluddin.

Jalaluddin juga menasihatkan pengguna agar tidak melakukan ‘pembelian panik’ dan keadaan akan kembali normal tidak lama lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button