Berita

Standard Durian Kampung Premium perkasa kualiti dan pasaran tempatan

Durian kampung yang dahulunya dianggap sebagai hasil biasa kini semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar durian tempatan dan antarabangsa berikutan peningkatan kualiti dan cita rasa.
Seiring dengan perkembangan ini, Jabatan Pertanian Malaysia telah membangunkan Standard Durian Kampung Premium (DKP) sebagai satu garis panduan rasmi untuk membezakan durian kampung berkualiti tinggi daripada yang bergred rendah.
Standard ini bertujuan untuk memberi nilai tambah kepada durian kampung dan memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap kualiti hasil tempatan.
Durian kampung didefinisikan sebagai durian yang ditanam melalui biji benih dan tidak tersenarai dalam Senarai Daftar Varieti Tanaman Jabatan Pertanian.
Oleh kerana sifatnya yang tidak seragam dari segi genetik, durian kampung boleh menghasilkan pelbagai variasi dari segi rasa, tekstur dan warna.
Justeru, pengenalan Standard DKP sangat penting sebagai rujukan kepada petani, peniaga dan pengguna dalam mengenal pasti durian kampung premium yang memenuhi ciri kualiti objektif.
Antara kriteria penting dalam penilaian Durian Kampung Premium termasuklah tangkai buah yang segar, bebas daripada kotoran, reput, penyakit dan kerosakan akibat perubahan suhu.
Selain itu, berat buah perlu melebihi 1 kilogram, mempunyai tahap kemanisan isi sekurang-kurangnya 25 Brix, isi berlemak dan sedikit pahit, serta ketebalan isi melebihi 10 milimeter.
Isi berwarna krim, kuning atau jingga menunjukkan ciri-ciri utama kepada durian berkualiti tinggi.
Walau bagaimanapun, dengan adanya Standard DKP ini, Jabatan Pertanian tidak menggalakkan penanaman durian kampung secara rawak, sebaliknya menyarankan agar pokok durian kampung bergred rendah dibuat cantuman dewasa atau digantikan dengan varieti terpilih seperti Raja Kunyit yang telah didaftarkan di bawah sistem Pendaftaran Varieti Tanaman.
Ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa sektor durian negara dengan memperbanyakkan penanaman klon-klon berkualiti tinggi dan berdaya saing di pasaran eksport.
Hakikatnya, beberapa varieti durian paling terkenal di pasaran hari ini seperti D197 (Raja Kunyit), D24 dan D200 (Ochee) merupakan hasil daripada proses pemilihan dan pendaftaran durian kampung yang menunjukkan potensi luar biasa.
Proses pendaftaran ini bukan sahaja melindungi hak petani terhadap sumber genetik tempatan, tetapi juga memastikan pemeliharaan identiti dan kualiti varieti secara konsisten untuk generasi akan datang.
Jabatan Pertanian Malaysia terus komited dalam memperkukuh industri durian negara menerusi khidmat nasihat, kursus teknikal, pendaftaran klon baharu, pemindahan teknologi serta promosi berterusan kepada pengusaha tempatan.
Inisiatif seperti DKP membuktikan bahawa durian kampung juga mampu bersaing sebagai produk agromakanan bernilai tinggi dan berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat global.
Dato’ Seri Mohamad Sabu
Dato’ Arthur Joseph Kurup
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Show More

Related Articles

Back to top button