Tradisi Tahunan Aminuddin: Jelajah Ihya Ramadan 2026 kini kembali
SEREMBAN: Jelajah Ihya Ramadan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun bagi tahun 2026 bermula malam ini di Masjid Negeri, Seremban disini.
Ia merupakan tradisi tahunan yang bertujuan mendekatkan diri beliau dengan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Dalam jelajah berkenaan, Aminuddin turut mengadakan aktiviti berbuka puasa bersama jemaah diikuti ibadah tarawih, iktikaf, qiamulail, sahur dan solat Subuh.
Pada sepuluh malam terakhir Ramadan, beliau akan mengunjungi beberapa masjid di lokasi berbeza di negeri ini antaranya Masjid Jamek Yam Tuan Raden di Kuala Pilah, Masjid Jamek Tanah Datar di Chengkau, Masjid Batu 17 Chembong dan Masjid An-Nur di Rembau serta beberapa masjid lain bagi meneruskan ibadah tarawih,iktikaf, qiamulail, sahur dan solat Subuh.
Program ini bertujuan bagi mengikat ukhwah antara kepimpinan negeri dan masyarakat selain memberi peluang kepada penduduk tempatan turut serta dalam ibadah bersama.
Jelajah Ihya Ramadan Menteri Besar Negeri Sembilan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dan terus mendapat sambutan masyarakat.
Program tahunan ini diterajui Aminuddin sendiri bagi menekankan pendekatan kepimpinan yang rapat dengan rakyat serta penglibatan beliau secara langsung dalam setiap aktiviti sepanjang Ramadan.




