Ziarah Kasih BAKRIYAH dekati keluarga yang memerlukan
PALONG: Ziarah Kasih Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH) menyantuni 12 individu yang memerlukan perhatian di DUN Palong.
Yang DiPertua BAKRIYAH, YABhg Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof berkata, program Ziarah Kasih di DUN Palong telah menyantuni 12 individu termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit terlantar.
“Melalui cara begini saya dan pimpinan BAKRIYAH dapat mengenali dan memahami dengan lebih dekat lagi keadaan ahli masyarakat.
“Semoga dengan sedikit bantuan yang kita hulurkan akan dapat mengurangkan sedikit kepayahan yang dialami oleh keluarga terbabit,” katanya.
Wan Hasni berkata, BAKRIYAH ditubuhkan selepas Kerajaan Pakatan Harapan memerintah Negeri Sembilan pada Mei 2018.
“Matlamat utama penubuhan BAKRIYAH adalah untuk melaksanakan program kebajikan di seluruh Negeri Sembilan,” ujar beliau.
Turut bersama, Penyelaras DUN Palong, Tuan Rebin Birham.