BeritaMenarik

618 siswazah cemerlang Negeri Sembilan dapat hadiah lebih RM3 juta

SEREMBAN: Seramai 618 siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan telah menerima sumbangan kewangan daripada Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Yayasan Negeri Sembilan berjumlah RM3.09 juta setakat 18 November 2024.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, angka ini jelas menunjukkan peningkatan siswazah Negeri Sembilan yang cemerlang yang dilahirkan dari institusi pendidikan tinggi setiap tahun sekaligus menggambarkan kualiti dan kompetensi sumber manusia anak-anak Negeri Sembilan yang bakal memberikan manfaat kepada masa depan negeri dan negara.

Kerajaan Negeri sentiasa percaya kepada agenda pendidikan sebagai agenda utama sumber manusia yang seimbang dalam melahirkan anak-anak Negeri Sembilan yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi cerdas daripada segi karakter atau akhlak.

“Ia selaras dan selari dengan Agenda Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang kita kasihi di mana beliau mahu pembangunan negara yang dicitrakan adalah pembangunan yang seimbang antara agenda membina kota dengan agenda membina insan.

“Dalam dunia globalisasi tanpa sempadan hari ini, anak muda dan masyarakat berhadapan dengan 3 jenis cabaran yang diungkapkan oleh Profesor Ziauddin Sardar yang juga merupakan panel sahabat pemikir kepada YAB Perdana Menteri kita iaitu iaitu ‘complexity’, ‘contradiction’ dan ‘chaos’.

“Cabaran-cabaran yang semakin rencam ni memerlukan persiapan ilmu, kemahiran dan karakter yang jitu dalam kalangan generasi muda. Pendidikan adalah jawapannya.

“Justeru itu, pihak Kerajaan Negeri dan YNS akan terus memberikan penumpuan utama kepada bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia yang berkualiti selaras dengan usaha Kerajaan Madani yang memberikan peruntukkan tertinggi untuk pendidikan dalam sejarah belanjawan negara iaitu RM64.1 bilion untuk tahun 2025,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Siri 4 Tahun 2024 di Klana Resort.

Seramai 170 orang penerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan telah menerima insentif wang tunai bernilai RM5,000 seorang dan keseluruhan berjumlah RM850,000 sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan.

Penerima adalah mereka yang terdiri daripada graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama semasa tamat pengajian di institusi masing-masing.

Show More

Related Articles

Back to top button