Aminuddin lancar Skim Takaful TABAH untuk penghantar makanan
Pendaftaran Skim Takaful Tabah dibuka sehingga 15 Oktober 2021
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun hari ini melancarkan Skim Takaful TABAH yang merupakan insuran perlindungan diri bagi penunggang penghantar makanan (rider).
Aminuddin berkata, beliau tertarik dengan usaha Exco Pembangunan Belia dan Sukan, YB Dato’ Mohamad Taufek Abdul Ghani melalui Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan (TABAH) yang memikirkan satu jalan terbaik untuk membantu kumpulan frontliners seperti penunggang penghantar makanan.
“Sekiranya berlaku kematian, pihak waris akan menerima pampasan sebanyak RM10,000 dan RM1,000 bagi khairat kematian.
“Sekiranya berlaku kemalangan yang mengakibatkan kecacatan kekal, peserta akan menerima RM10,000. Bagi tuntutan hospital, sebanyak RM1,000 disediakan.
“Skim ini adalah percuma untuk 500 penunggang penghantar makanan di seluruh Negeri Sembilan,” ujar Aminuddin di Majlis Pelancaran Skim Takaful TABAH 2021 di Kediaman Rasmi beliau.
Aminuddin berkata, beliau berharap usaha ini akan meringankan beban anak-anak muda yang terlibat dengan pekerjaan ini.
“Saya faham, setiap kali anda semua keluar dari rumah, isteri, anak-anak dan ahli keluarga sentiasa mendoakan agar anda akan pulang dengan selamat. Pulang dengan membawa senyuman kepada mereka.
“Cuma, sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, ia akan menyebabkan insan-insan tersebut hilang punca pendapatan dan tempat bergantung. Ini dapat kita lihat pada kes-kes yang melibatkan penunggang penghantar makanan di seluruh Malaysia.
“Oleh yang demikian, saya berharap agar tawaran Skim Takaful-TABAH ini disambut baik oleh penunggang penghantar makanan di seluruh Negeri Sembilan,” kata Aminuddin.
Sementara itu, Mohamad Taufek berkata, TABAH masih membuka tawaran ini sehingga 15 Oktober 2021, bagi memberi peluang kepada lebih ramai penunggang penghantar makanan untuk mendaftarkan diri dengan Skim Takaful TABAH.
“Setakat empat hari pihak TABAH mengadakan promosi, lebih 100 orang telah mendaftar diri bagi skim ini.
“Ini menunjukkan kesedaran penunggang penghantar makanan untuk mempunyai takaful sangat tinggi.
“Skim Takaful TABAH ini adalah hasil usahasama antara TABAH dengan ETIQA Takaful yang bersetuju untuk menawarkan skim takaful yang terbaik untuk anak-anak muda ini,” ulas Mohamad Taufek.
Foto: Nabil Syafiq