Paris bakal ditunjukkan tarian tradisional murid SK Taman Seri Rembau

REMBAU: 10 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rembau akan mewarnai pertandingan tarian di ‘The 35th International Competition and Festival of Folklore Dance Music etoiles de Paris di Paris Perancis daripada 22 Oktober hingga 31 Oktober.
Kumpulan tarian Seni Baiduri ini terdiri daripada lima orang pelajar lelaki dan lima orang pelajar perempuan serta dipimpin oleh guru Bahasa Inggeris, Mohd ‘Ainuddin Mohd Ramlan.
Guru Besar SK Taman Seri Rembau, Zulkarnain Abd Kadir berkata, ini adalah pertama kali murid sekolah tersebut menyertai acara itu.
“Ia membanggakan sekolah dan Negeri Sembilan, selain menjadi platform penting untuk mengangkat martabat seni tarian tradisional ke persada Antarabangsa.
“Jabatan Kesenian Kebudayaan Negeri, Negeri Sembilan (JKKNNS) mula nampak potensi kumpulan Seri Baiduri ini sejak dua tahun lepas.
“Baru-baru ni pun mereka bawa pulang Anugerah Emas dalam Pertandingan Tarian Kanak-kanak MADANI Kebangsaan 2025 di Kuala Lumpur.
“Tapi, nak ke Paris ni bukan senang. Kos keseluruhan lebih kurang RM140,000, termasuk logistik, kostum, dan yuran pertandingan.
“Jadi pihak sekolah sedang giat cari dana dan sokongan daripada orang ramai, syarikat korporat, dan sesiapa yang sudi bantu.
“Antara inisiatif untuk kumpul dana termasuk Dermathon SK Taman Seri Rembau, Staser Fest 2.0, dan larian Rembau Rumble Run yang bakal berlangsung 26 Julai nanti.
“Sapa-sapa yang nak hulur bantuan, boleh terus hubungi pihak sekolah. Kami sangat hargai segala sokongan,” kata Zulkarnain.