Berita

AMK Port Dickson Kecam Pemuda UMNO Terengganu Salah Guna Jalur Gemilang

PORT DICKSON: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson membidas tindakan Pemuda UMNO Terengganu yang didakwa menggunakan Jalur Gemilang secara salah dalam satu poster bertajuk “Desak Hukuman Pembuli”.

Poster berkenaan hanya memaparkan 12 jalur dan bukannya 14 seperti sepatutnya, sekali gus disifatkan memalukan kerana tidak menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati simbol negara.

Ketua Penerangan AMK Port Dickson, Azhad Zarin, berkata pihaknya hairan apabila Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini lantang mengkritik isu Jalur Gemilang terbalik di Port Dickson.

“Namun, kini memilih berdiam diri apabila kesalahan dilakukan oleh partinya sendiri.

“Pendekatan ‘double standard’ ini menimbulkan persoalan tentang keikhlasan beliau dalam mempertahankan maruah bendera negara.

“Kami minta beliau konsisten dalam semua isu melibatkan simbol negara, tanpa mengira pihak yang melakukannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

AMK Port Dickson turut mendesak Pemuda UMNO Terengganu memohon maaf secara terbuka atas kesilapan itu, sebagaimana yang pernah diminta oleh Dr Akmal terhadap pihak lain sebelum ini.

Menurut Azhad, sikap pilih kasih hanya akan merosakkan kredibiliti kepimpinan dan mencemarkan mesej patriotisme yang cuba dibawa.

Show More

Related Articles

Back to top button