BeritaProgram

Anak Puan Zubaidah dapat bantuan pendidikan RM15,000 dari Kerajaan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Tanggungjawab ibu bapa membesarkan dan memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak bukanlah satu perkara yang mudah.

Tanggungjawab ini akan menjadi semakin besar apabila anak-anak melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi.

Cabaran pula lebih getir untuk anak-anak dan ibu bapa dari golongan kurang berkemampuan.

Negeri Kita berkesempatan menemuramah Puan Zubaidah Yusoff, 50, dari Sikamat yang mempunyai empat orang anak yang masih menuntut di institut pengajian tinggi dan seorang lagi anak beliau baru sahaja menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang kelas pertama.

Anak sulung beliau, Sarah Husna Zulaikha Mohamad Hanif, 27, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia, telah menerima Anugerah Cemerlang Kelas Pertama dari Yayasan Negeri Sembilan (YNS) dengan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Sarah Husna Zulaikha

Anak kelima, Muhammad Zikri Haziq, 19, merupakan pelajar Diploma Teknologi Reka Bentuk Fesyen di UiTM Seri Iskandar, Perak telah menerima Insentif Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM700 sebagai bantuan permulaan kemasukan universiti pada hujung tahun 2024.

Bermula tahun ini Zikri Haziq menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) Mahasiswa Negeri Sembilan sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun menerusi YNS.

Zikri Haziq akan menerima bantuan bulanan RM200 ini sehingga beliau menamatkan pengajian di universiti selama setahun enam bulan.

Lebih menggembirakan anak muda ini apabila beliau layak untuk menerima sebuah komputer riba percuma berjenama HP bernilai RM3, 000 dari YNS untuk membantu pembelajaran beliau di universiti.

Muhammad Zikri Haziq

Tiga lagi anak Zubaidah menerima Insentif Kecemerlangan Institut Pengajian Tinggi sebanyak RM1,000 seorang daripada YNS sebelum ini.

Anak kedua, Mohamad Zaqwan Hanafi, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Animasi 3D di UiTM Puncak Perdana; anak ketiga, Muhammad Zamri Harith, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dalam Muzik di UiTM Shah Alam dan Safiyyah Huda Zafira, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pereka Grafik di Universiti Malaysia Kelantan.

Zubaidah berkongsi perasaan gembira dan syukur beliau kepada Negeri Kita semasa Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Bil. 2/2025 di Klana Resort, Seremban.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang kita sayangi di atas buah fikiran memperkenalkan inisiatif Bantuan Sara Hidup Mahasiswa Negeri Sembilan dan pemberian komputer riba percuma kepada pelajar universiti dari keluarga kurang berkemampuan.

“Maklumlah kami golongan B40. Macam saya empat orang anak masih belajar di universiti dan sangat memerlukan kemudahan komputer riba.

“Apabila ada bantuan seperti ini, ia sangat-sangat meringankan beban kami suami isteri.

“Alhamdulillah bantuan-bantuan yang telah diberikan kepada anak-anak saya telah dibalas dengan memperolehi anugerah cemerlang kelas pertama,” kata Zubaidah.

(dari kiri) Zubaidah, Muhammad Zikri Haziq, Sarah Husna Zulaikha dan Mohamad Hanif (bapa).

Zubaidah turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Negeri Sembilan yang menurut beliau bantuan seperti ini sebenarnya sangat membantu golongan B40 bagi menanggung dan meringankan kos pendidikan anak-anak di universiti.

“Seingat saya daripada anak kedua, saya telah mendapat bantuan permulaan kemasukan universiti sehinggalah anak saya yang kelima.

“Manakala anak kelima ini juga adalah penerima Bantuan Sara Hidup sebanyak RM200 sebulan dan juga penerima komputer riba percuma.

“Bantuan Sara Hidup RM200 sebulan atau RM2,400 setahun ini sangat meringankan beban ibu bapa sebab saya ada empat orang anak yang masih belajar di universiti.

“Bantuan ini juga memberikan semangat kepada pelajar ini untuk belajar dengan lebih cemerlang seiring dengan moto dan visi Yayasan Negeri Sembilan yang mahu meningkatkan pendidikan di kalangan anak-anak Negeri Sembilan.

“Saya harap bantuan-bantuan ini akan diteruskan pada tahun akan datang, bagi membantu anak-anak dari keluarga yang memerlukan dan secara langsung meningkatkan taraf pendidikan anak-anak yang berasal dari Negeri Sembilan,’ ulas Zubaidah.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button