BAKRIYAH santuni lapan keluarga yang memerlukan bantuan
SRI TANJUNG: Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan (BAKRIYAH) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Sri Tanjung telah mengadakan program Ziarah Kasih di DUN Sri Tanjung.
Yang DiPertua BAKRIYAH, YABhg Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof berkata, sebanyak lapan keluarga telah diziarahi bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa dibela.
“Dalam program ini kita telah menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan dapur bagi meringankan beban mereka.
“Program Ziarah Kasih ini bukan sekadar lawatan bagi menyampaikan sumbangan tetapi kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengambil tahu sebarang permasalahan yang dihadapi untuk tindakan susulan,” kata beliau.
Wan Hasni berkata, lapan individu yang disantuni termasuk warga emas tinggal sebatang kara, orang kurang upaya, pesakit kanser, pesakit kencing manis yang kehilangan kedua-dua kakinya, pesakit buah pinggang, pesakit tibi dan ibu tunggal (asnaf).
“Lapan individu yang menerima sumbangan ini masing-masing dua orang dari Kampung Gelam, Kampung Paya, Kampung Arab dan Kampung Hailam,” ujar Wan Hasni.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, YB Dato’ M.Ravi mengucapkan terima kasih kepada Datin Seri Wan Hasni dan ahli jawatankuasa BAKRIYAH di atas kerjasama menjayakan program ini.