Berita

Dapur Siswa MADANI USIM bantu kebajikan pelajar B40

NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif bank makanan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai langkah membantu mengurangkan beban kos sara hidup pelajar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM15 juta bagi pelaksanaan program dapur siswa di bawah Belanjawan 2026 untuk memperluas inisiatif bank makanan di universiti serta politeknik.

“Saya bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dan seluruh barisan kerajaan sentiasa menunjukkan komitmen memastikan kebajikan pelajar menjadi keutamaan khususnya mereka daripada golongan B40 dan asnaf,” katanya kepada pemberita selepas Kembara Ramadan dan Iftar Perdana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Dalam program tersebut, beliau turut menyempurnakan pelancaran Dapur Siswa MADANI USIM yang menyediakan juadah berbuka puasa kepada mahasiswa, khususnya golongan memerlukan.

Menurut beliau, pendekatan turun padang menerusi program seumpama itu membolehkan kementerian memahami secara langsung keperluan pelajar selain memperkukuh hubungan strategik antara KPT dan institusi pendidikan tinggi.

Selain itu, seramai 100 pelajar asnaf USIM turut menerima bantuan tiket pulang ke kampung hasil kerjasama Kelab Perwira Malaysia–Aman Palestin sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat dan dana berjumlah RM117,000 daripada Bank Rakyat dan AmMetLife Takaful manakala Ajinomoto Malaysia Berhad menaja 1,000 pek bubur lambuk kepada jemaah.

Show More

Related Articles

Back to top button