DARI SONGKET KE GAYA: Perkasa wanita kuasai kemahiran songket

SEREMBAN: Siri Jelajah ‘Dari Songket ke Gaya: Bengkel Kraftangan Clutch Box Bag’ anjuran WADANI di bawah naungan Exco Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan telah melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya selepas menjelajah lima DUN iaitu DUN Sri Tanjung, DUN Johol, DUN Palong, DUN Sungai Lui dan DUN Sikamat bermula 21 Ogos sehingga 25 Ogos 2025.
Exco Wanita dan Keluarga, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, program ini bertujuan memperkasakan wanita melalui penguasaan kemahiran kraftangan songket serta memberi peluang untuk menjana pendapatan melalui hasil kreativiti.
“Seramai 150 peserta daripada lima DUN telah menyertai bengkel ini dan menunjukkan minat yang mendalam dalam menghasilkan Clutch Box Bag berasaskan songket.
“Dengan peruntukan sebanyak RM18,000 bagi keseluruhan siri jelajah, program ini berjaya memberi manfaat kepada ramai wanita serta menerima sokongan yang amat baik daripada pelbagai pihak,” kata Noorzunita.